BELANJAWAN NEGERI TERENGGANU 2027: MEMBINA EKOSISTEM GLC YANG MAMPAN DAN BERDAYA SAING

belanjawan2027

Penulis:
Asyraf bin Salleh, Pegawai Penyelidik TSIS

Intisari (Janaan AI)
  • Penekanan Kerajaan Negeri berkaitan GLC di dalam Belanjawan Negeri Terengganu 2027 adalah berkaitan perkongsian kepakaran dan amalan terbaik antara institusi berprestasi memberangsangkan dengan institusi yang memerlukan penambahbaikan prestasi.
  • GLC berperanan menjana peluang pekerjaan, memperkukuh rantaian bekalan tempatan, membangunkan industri serta menyumbang kepada kesejahteraan sosial negeri.
  • Prestasi GLC perlu dinilai berdasarkan kedudukan kewangan, mandat penubuhan dan sumbangan sosioekonomi, bukan hanya berpandukan angka keuntungan atau kerugian semata-mata.

Belanjawan Negeri Terengganu 2027 yang diumumkan pada 16 November 2026 oleh YAB Menteri Besar Terengganu, memberikan penekanan kepada usaha memperkukuh prestasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Badan Berkanun Negeri sebagai sebahagian daripada agenda meningkatkan kecekapan institusi serta mengoptimumkan potensi ekonomi negeri.

Penekanan ini mencerminkan keperluan untuk memastikan setiap entiti milik Kerajaan bukan sahaja diurus dengan tadbir urus yang baik, malah berupaya menjana nilai ekonomi dan memberikan pulangan sosioekonomi yang mampan kepada rakyat.

Perbincangan mengenai prestasi GLC Negeri Terengganu kembali mendapat perhatian susulan laporan bahawa 20 daripada 26 anak syarikat Kerajaan Negeri mencatatkan kerugian berjumlah RM24.01 juta bagi tahun kewangan 2024. Dapatan ini wajar diberikan perhatian serius kerana GLC menguruskan kepentingan awam dan sumber negeri. Namun begitu, penilaian terhadap prestasi keseluruhan ekosistem GLC tidak seharusnya bergantung kepada angka kerugian semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira skop entiti, mandat penubuhan dan kedudukan kewangan setiap institusi.

Hakikatnya, terdapat perbezaan antara entiti yang beroperasi atas dasar komersial dengan institusi yang membawa mandat sosial, kebajikan atau pembangunan. Bagi syarikat komersial, aspek keuntungan, pertumbuhan hasil, aliran tunai dan pulangan pelaburan merupakan indikator utama. Manakala bagi entiti yang mempunyai mandat sosial pula, keberhasilan program, kecekapan penggunaan dana dan impak kepada kumpulan sasar perlu turut diberikan perhatian. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, mandat sosial tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan disiplin kewangan, kecekapan operasi dan akauntabiliti.

Dalam konteks ini, prestasi beberapa institusi korporat negeri menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan. Contohnya seperti Terengganu Incorporated (TI) yang telah merekodkan hasil sebanyak RM1.75 bilion pada tahun kewangan 2024, meningkat 15% berbanding tahun sebelumnya, dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM81.7 juta.

TDM Berhad pula mencatatkan hasil RM768.1 juta dan keuntungan sebelum cukai RM42.4 juta pada tahun 2025, berbanding masing-masing RM645.6 juta dan RM10.3 juta pada tahun 2024. Manakala EPIC Berhad turut merekodkan hasil tertinggi setakat ini sebanyak RM411.9 juta pada 2025, dengan keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM36.9 juta. Prestasi ini memperlihatkan potensi dan keupayaan institusi korporat negeri untuk terus berkembang dalam persekitaran perniagaan yang kompetitif.

Sumbangan GLC juga tidak terhad kepada prestasi kewangan semata-mata. Melalui aktiviti perniagaan dan pelaburan, entiti-entiti ini berpotensi menjana peluang pekerjaan, memperluas penyertaan vendor tempatan, memperkukuh rantaian bekalan serta membangunkan kemahiran tenaga kerja. Dalam aspek kesejahteraan sosial, Kumpulan Terengganu Inc (TI Group) telah menyalurkan zakat perniagaan sebanyak RM8.63 juta bagi tahun kewangan 2024 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Sementara itu, Ladang Rakyat melalui aktiviti perladangan, penternakan dan pembangunan agro-bisnes turut mempunyai peranan dalam memperkukuh sektor pertanian serta agenda keselamatan makanan negeri. Sumbangan seperti ini menggambarkan bagaimana aktiviti korporat boleh diterjemahkan kepada manfaat yang lebih luas kepada masyarakat dan ekonomi tempatan, menjangkaui aspek kewangan semata-mata.

Sehubungan itu, penekanan Belanjawan Negeri Terengganu 2027 terhadap penambahbaikan prestasi GLC dan Badan Berkanun Negeri perlu diterjemahkan melalui pendekatan yang lebih menyeluruh. Keutamaan bukan sahaja diberikan kepada peningkatan kecekapan operasi dan pengukuhan tadbir urus, malah turut merangkumi usaha meningkatkan daya saing, mengenal pasti punca kelemahan kewangan dan melaksanakan penstrukturan terhadap institusi yang memerlukan pemulihan prestasi.

Satu pendekatan yang berpotensi mempercepat usaha ini ialah kerjasama strategik antara institusi yang mempunyai prestasi memberangsangkan dengan entiti yang memerlukan peningkatan keupayaan. Kepakaran dan pengalaman TI, EPIC, TDM dan Ladang Rakyat boleh dimanfaatkan melalui perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan kewangan, pembangunan sumber manusia, pendigitalan, pengurusan risiko dan pengembangan pasaran. Pendekatan ini membolehkan kekuatan sesebuah institusi dimanfaatkan untuk memperkukuh keupayaan institusi lain, sekali gus membentuk ekosistem GLC dan Badan Berkanun Negeri yang lebih berdaya saing serta saling melengkapi.

Walau bagaimanapun, kerjasama strategik tidak seharusnya dilihat sebagai mekanisme untuk memindahkan beban kerugian daripada satu entiti kepada entiti yang lain. Sebaliknya, matlamatnya adalah untuk meningkatkan keupayaan pengurusan, memperkukuh produktiviti dan membina model operasi yang lebih mampan, disokong oleh sasaran prestasi serta mekanisme pemantauan yang jelas.

Secara kesimpulannya, kejayaan GLC Terengganu perlu dinilai melalui keseimbangan antara Commercial Value dan Public Value di mana keupayaan menjana pulangan komersial perlu seiring dengan keupayaan mencipta nilai kepada masyarakat. Kedua-duanya menjadi asas kepada pembentukan ekosistem GLC yang mampan, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada kemakmuran negeri.

 

 

Kongsi berita ini:

WhatsApp
Facebook
Twitter
LinkedIn