BELANJAWAN NEGERI TERENGGANU 2027: PENGHAYATAN AGAMA : TERAS DALAM MELAKAR KEBAHAGIAAN DAN MEMACU KESEJAHTERAAN RAKYAT

Drawbridge

Oleh: Wan Muzhaffar Wan Muda, Pegawai Penyelidik TSIS

Intisari (Janaan AI)
  • Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2024 merekodkan Terengganu sebagai negeri paling bahagia di Malaysia dengan skor keseluruhan 8.64, manakala komponen Keagamaan dan Kerohanian mencatatkan skor tertinggi sebanyak 9.45.
  • Agama dan kerohanian merupakan asas pembentukan ketenangan jiwa, kekuatan spiritual serta keharmonian sosial yang menyumbang kepada kesejahteraan kehidupan masyarakat.
  • Penekanan Belanjawan Negeri Terengganu 2027 terhadap pengukuhan ekosistem dakwah, pendidikan Islam dan pembangunan kerohanian perlu terus diperkasakan bagi memastikan kebahagiaan rakyat bukan sahaja diukur melalui kemajuan material, malah turut dirasai melalui penghayatan nilai agama dalam kehidupan seharian.

Belanjawan Negeri Terengganu 2027 yang bertemakan Melakar Bahagia, Memacu Sejahtera memberi penekanan kepada pembangunan negeri yang bukan sahaja berorientasikan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan material, malah turut mengambil kira dimensi spiritual sebagai asas kebahagiaan rakyat. Pendekatan ini mencerminkan kefahaman bahawa pembangunan sesebuah negeri tidak seharusnya dinilai berdasarkan kemajuan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira ketenangan jiwa, kekuatan nilai kehidupan dan keharmonian masyarakat.

Aspirasi ini mempunyai sandaran yang signifikan melalui penerbitan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (Malaysia Happiness Index, MHI) 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), yang meletakkan Terengganu sebagai negeri paling bahagia di Malaysia dengan skor keseluruhan 8.64 daripada 10 mata. Lebih menarik, komponen Keagamaan dan Kerohanian mencatatkan skor tertinggi sebanyak 9.45 daripada daripada 13 komponen. Dapatan ini memperlihatkan kedudukan agama dan kerohanian sebagai salah satu daripada dimensi paling menonjol dalam kehidupan masyarakat khususnya di Negeri Terengganu.

Dalam pembentangan ucapan Belanjawan 2027 pada 16 November 2026, YAB Menteri Besar Terengganu  turut menggariskan lima faktor utama yang menjadi asas kepada kebahagiaan dan kesejahteraan rakyat, iaitu keagamaan, kekeluargaan, kemasyarakatan, keintelektualan dan keselamatan. Kelima-lima faktor ini menggambarkan pendekatan pembangunan yang bersifat menyeluruh dengan meletakkan hubungan manusia dengan Tuhan, hubungan kekeluargaan dan keharmonian masyarakat sebagai antara asas kehidupan yang sejahtera.

Secara khusus, rakyat dapat menikmati kebahagiaan apabila dapat memperkukuh hubungan dengan Tuhan melalui aktiviti keagamaan dan amalan kerohanian bersama ahli keluarga serta anggota masyarakat. Ini memperlihatkan bahawa agama bukan sekadar urusan individu, malah turut menjadi instrumen penting dalam memperkukuh institusi keluarga dan perpaduan sosial.

Dalam perspektif Islam, kebahagiaan bukan semata-mata diukur berdasarkan kekayaan, kesenangan hidup atau kemewahan material, sebaliknya turut merangkumi ketenangan hati, keredaan Allah SWT dan keseimbangan hubungan manusia dengan Pencipta serta sesama manusia. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ra’d, ayat 28:

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.”

Ayat ini memberikan gambaran asas bahawa hubungan manusia dengan Allah SWT mempunyai kaitan yang erat dengan ketenteraman jiwa, merangkumi kesedaran terhadap kebesaran Allah, pergantungan kepada-Nya dan penghayatan nilai ketuhanan dalam kehidupan. Justeru, dalam menghadapi cabaran kehidupan moden yang semakin kompleks, pegangan agama dapat menjadi panduan dalam membentuk kekuatan dalaman, kesabaran dan keupayaan dalam menguruskan tekanan dalam kehidupan.

Sehubungan dengan itu, pencapaian komponen Keagamaan dan Kerohanian ini perlu terus dijadikan landasan strategik untuk Kerajaan Negeri memperkukuh ekosistem kehidupan berteraskan Islam secara lebih menyeluruh. Institusi agama seperti masjid dan surau, sekolah agama, institusi pendidikan Islam, pusat pengajian al-Quran serta organisasi dakwah perlu terus diperkasakan sebagai institusi yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, bahkan dalam membentuk keperibadian dan kesejahteraan masyarakat. Peranan institusi ini amat penting dalam memastikan penghayatan agama terus subur merentasi generasi, khususnya dalam kalangan golongan muda.

Dalam konteks Belanjawan Negeri Terengganu 2027, komitmen kerajaan terhadap pengukuhan ekosistem dakwah diterjemahkan menerusi pelbagai inisiatif seperti Semarak Dakwah Komuniti yang merangkumi program keagamaan, sambutan hari kebesaran Islam, street dakwah serta pembudayaan amalan membaca dan menghayati al-Quran.

Selain itu, Program Pemerkasaan Daie Terengganu turut diberikan penekanan bagi meningkatkan kemahiran para pendakwah agar penyampaian dakwah menjadi lebih kreatif, moden dan berimpak tinggi. Pendekatan ini penting bagi memastikan mesej Islam dapat disampaikan secara berkesan serta bersesuaian dengan perkembangan dan cabaran masyarakat masa kini.

Tambahan lagi, pengukuhan penghayatan agama menerusi sektor pendidikan seperti Kecemerlangan KAFA Pelajar Sekolah, Program Latihan Kemahiran Pondok serta Pusat Pengajian Islam OKU pula memperlihatkan kepentingan menyediakan akses pendidikan dan pembangunan rohani yang inklusif kepada pelbagai lapisan masyarakat. Pendekatan sedemikian dapat memastikan pembangunan spiritual tidak hanya tertumpu kepada kelompok tertentu, sebaliknya menjadi sebahagian daripada ekosistem kehidupan seluruh rakyat.

Dalam masa yang sama, agenda dakwah dan pembangunan kerohanian perlu sentiasa bergerak seiring dengan usaha menangani isu sosial serta memenuhi keperluan asas rakyat. Peranan pendakwah, imam, guru agama, institusi masjid dan pertubuhan masyarakat perlu terus diperkasakan sebagai rakan strategik kerajaan dalam membina masyarakat yang berakhlak dan mempunyai daya tahan sosial yang tinggi.

Pendekatan dakwah juga perlu disesuaikan dengan keperluan semasa, termasuk menangani cabaran keruntuhan institusi kekeluargaan, gejala sosial, penyalahgunaan dadah dan pengaruh negatif dalam persekitaran digital. Usaha ini memerlukan pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat melalui pendidikan, bimbingan, pencegahan dan pengukuhan nilai agama secara berterusan.

Kesimpulannya, pencapaian tinggi dalam komponen Keagamaan dan Kerohanian tidak seharusnya menjadikan kerajaan berpuas hati dengan kedudukan sedia ada. Sebaliknya, dapatan tersebut perlu dimanfaatkan sebagai petunjuk untuk mengenal pasti kekuatan yang wajar dikekalkan dan dipertingkatkan. Keberkesanan program keagamaan perlu dinilai bukan hanya berdasarkan bilangan program atau penyertaan peserta, tetapi juga melalui perubahan penghayatan agama, pembentukan akhlak dan impaknya terhadap kehidupan masyarakat. Pendekatan berasaskan keberhasilan ini membolehkan pelaburan kerajaan dalam pembangunan spiritual diterjemahkan kepada manfaat yang lebih bermakna. Inilah hakikat pembangunan yang ingin direalisasikan melalui aspirasi Melakar Bahagia, Memacu Sejahtera, agar kebahagiaan bukan sekadar tercatat dalam indeks dan angka statistik, tetapi benar-benar dirasai dalam kehidupan setiap rakyat Terengganu.

RUJUKAN

Al-Quran al-Karim. Surah al-Ra’d, ayat 28

Jabatan Perangkaan Malaysia. (2025). Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2024. Kementerian Ekonomi Malaysia. https://www.dosm.gov.my/uploads/release-content/file_20250911142909.pdf

Jabatan Perangkaan Malaysia. (2025). Indeks Kebahagiaan Rakyat Terengganu, 2024. Kementerian Ekonomi Malaysia. https://www.dosm.gov.my/uploads/release-content/file_20250912114112.pdf

Teks Ucapan Belanjawan Terengganu (2027) https://tsis.terengganu.gov.my/buku-belanjawan-terengganu/

 

Kongsi berita ini:

WhatsApp
Facebook
Twitter
LinkedIn