Penulis:
Nurfaraezzati binti Muhamad

| Intisari (Janaan AI) |
|---|
|
Penuaan penduduk merupakan perubahan demografi yang tidak dapat dielakkan. Namun bagi Terengganu, persoalan yang lebih penting bukanlah bila negeri ini akan mencapai status masyarakat menua, tetapi sejauh mana ruang yang masih ada pada hari ini dapat dimanfaatkan untuk membuat persediaan. Anggaran Penduduk Semasa 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Terengganu mempunyai kira-kira 1.25 juta penduduk, dengan 10.0 peratus atau 125,400 orang berumur 60 tahun dan ke atas. Penduduk berumur 65 tahun dan ke atas pula merangkumi 6.3 peratus, manakala median umur penduduk negeri ialah 27.4 tahun. Data ini menunjukkan struktur penduduk Terengganu masih relatif muda, namun bahagian penduduk berumur 65 tahun dan ke atas telah meningkat daripada 6.1 peratus pada 2024 kepada 6.3 peratus pada 2025.
Kedudukan ini sebenarnya memberikan satu kelebihan kepada Terengganu, iaitu masa untuk bersedia. Penuaan penduduk berlaku secara beransur-ansur dan kesannya tidak terhad kepada pertambahan bilangan warga emas semata-mata. Apabila struktur umur penduduk berubah, keperluan terhadap perkhidmatan kesihatan, perlindungan kewangan, penjagaan, perumahan, mobiliti serta sokongan keluarga dan komuniti turut berubah. Justeru, struktur penduduk yang masih relatif muda bukanlah alasan untuk menangguhkan persediaan. Sebaliknya, tempoh inilah yang perlu dimanfaatkan untuk membina kesiapsiagaan sebelum keperluannya menjadi lebih mendesak.
Persoalan yang perlu diberikan perhatian bukan sekadar berapa ramai rakyat Terengganu yang akan menjadi warga emas, tetapi bagaimana mereka akan menua. Pada 2025, jangka hayat ketika lahir di Terengganu ialah 72.6 tahun berbanding 75.3 tahun bagi Malaysia. Pada masa yang sama, seseorang yang telah mencapai umur 60 tahun di Terengganu dijangka mempunyai baki jangka hayat sekitar 18.2 tahun secara purata. Ini bermakna usia 60 tahun bukanlah penghujung perjalanan kehidupan. Bagi ramai individu, masih terdapat tempoh hampir dua dekad selepas memasuki usia tersebut. Persoalannya, adakah tempoh itu akan dilalui dalam keadaan sihat, aktif dan berdikari, atau disertai penyakit, kebergantungan serta ketidakcukupan kewangan?
Realitinya, keadaan seseorang pada usia tua banyak dipengaruhi oleh persediaan yang dibuat lebih awal. Kesihatan pada usia 60 atau 70 tahun tidak terbentuk dalam sehari, sebagaimana simpanan persaraan tidak dapat dibina hanya selepas seseorang berhenti bekerja. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 mengenai kesihatan warga emas memberi perhatian kepada pelbagai aspek termasuk demensia, kemurungan, risiko jatuh, masalah penglihatan dan pendengaran, penyakit tidak berjangkit, sokongan sosial serta kualiti hidup. Dalam masa yang sama, peningkatan usia boleh membawa keperluan perbelanjaan kesihatan dan penjagaan yang lebih besar ketika sumber pendapatan selepas persaraan semakin terhad. Oleh itu, persediaan menghadapi usia tua perlu bermula sebelum seseorang bergelar warga emas.
Penuaan juga bukan pengalaman individu semata-mata. Apabila ibu bapa semakin berusia dan memerlukan bantuan, kesannya turut dirasai oleh keluarga yang menjadi antara sumber sokongan utama. Keperluan terhadap kediaman yang sesuai, kemudahan awam yang mudah diakses, mobiliti, penjagaan dan sokongan komuniti juga akan berubah mengikut peningkatan usia. Ini menunjukkan bahawa isu penuaan tidak boleh diletakkan di bawah kerangka kebajikan semata-mata. Ia berkait dengan bagaimana sebuah negeri merancang sistem kesihatan, persekitaran, ekonomi, keluarga dan komuniti agar dapat menyesuaikan diri dengan perubahan struktur penduduk.
Atas sebab itu, persediaan yang lebih strategik perlu melihat keseluruhan perjalanan penuaan. Hasil perbincangan awal pembangunan Pelan Induk Warga Emas Sejahtera Terengganu 2030 (PIMAS2030), misalnya, melihat umur 50 hingga 59 tahun sebagai fasa pra-warga emas yang penting bagi persediaan kesihatan, kewangan dan gaya hidup. Pendekatan sebegini mengubah persoalan daripada “apa yang perlu dilakukan apabila seseorang sudah tua?” kepada “apa yang perlu dipersiapkan supaya seseorang dapat menua dengan lebih baik?”
Dalam konteks ini, pembangunan PIMAS2030 merupakan ruang untuk Terengganu menyusun persediaan tersebut secara lebih menyeluruh. Pelan yang sedang dibangunkan di bawah Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) bagi Mercu Tanda Negeri 8: Terengganu Berkebajikan ini berhasrat menghubungkan peranan kerajaan, keluarga, komuniti, NGO dan sektor swasta dalam membentuk ekosistem yang menyokong kesejahteraan warga emas. Persediaan menghadapi perubahan demografi tidak boleh diletakkan kepada kerajaan semata-mata, sebagaimana keluarga juga tidak seharusnya dibiarkan menanggung keseluruhan cabaran penuaan secara bersendirian.
Terengganu hari ini masih mempunyai satu kelebihan yang tidak akan kekal selama-lamanya — masa. Ruang yang ada perlu dimanfaatkan bukan sekadar untuk menyediakan lebih banyak bantuan apabila rakyat telah tua, tetapi untuk memastikan mereka memasuki usia tua dengan persediaan yang lebih baik. Pada akhirnya, kejayaan menghadapi perubahan demografi bukan hanya diukur melalui sejauh mana rakyat dapat hidup lebih lama, tetapi sama ada pertambahan usia itu dapat dilalui dalam keadaan sihat, berdikari, terjamin, bermaruah dan terus dihargai. Persediaan untuk menua dengan sejahtera tidak bermula apabila seseorang mencapai usia 60 tahun. Ia bermula hari ini.













