SG4 BANGKIT MENERAJUI MASA DEPAN MALAYSIA

Penulis: Dr. Zulhimi Abd Rahman

Picture3

Intisari (Janaan AI)
  • Gabungan empat negeri merangkumi kekuatan 5.7 juta penduduk, KDNK RM133.4 bilion (2025), pelaburan diluluskan mencecah RM220.43 bilion (2020–2025) serta penghasilan lebih 131,600 graduan yang menjadi tunjang utama lonjakan ekonomi wilayah.
  • Kekayaan sumber mentah seperti unsur nadir bumi (REE), petroleum, dan gas tidak mencukupi jika sekadar diekstrak dan dijual mentah. Negeri-negeri SG4 perlu membina kapasiti pemprosesan hiliran, pemilikan teknologi dan rantaian pembekal tempatan agar limpahan ekonomi kekal dinikmati rakyat selari dengan tuntutan amanah memakmurkan bumi.
  • Mengelakkan pertindihan industri dengan memadankan kelebihan unik setiap negeri—Kedah (semikonduktor dan teknologi tinggi), Terengganu (petrokimia dan maritim), Kelantan (agroindustri, mineral, dan halal) serta Perlis (perdagangan sempadan dan tenaga boleh baharu) yang disokong oleh hubungan adil dan strategik bersama Kerajaan Persekutuan.
  • Kejayaan dasar diukur melalui realisasi sebenar pelaburan, pewujudan pekerjaan berkualiti dan penglibatan vendor tempatan. Hal ini memerlukan struktur tadbir urus yang kukuh, perkongsian data bersepadu dan penyelarasan rentas agensi yang setara dengan model koridor wilayah seperti ECERDC dan NCIA.
  • Rakyat dan graduan tempatan diiktiraf sebagai aset paling bernilai. Ekosistem industri berteknologi tinggi perlu dibina di peringkat domestik supaya bakat serta usahawan berkemahiran mempunyai pilihan untuk pulang, membina syarikat dan mencipta nilai di negeri asal mereka.
  • Kejayaan penganjuran SG4 Business & Economic Forum 2026 hanyalah permulaan. Penentu sebenar sama ada “gergasi tidur” ini berjaya bangkit terletak pada keupayaan mengintegrasikan sumber, modal insan, tadbir urus dan tindakan berterusan secara tersusun.

 

Pada 26 Oktober baru-baru ini telah berlangsung SG4 Business & Economic Forum 2026 anjuran utama SG4 Group Sdn. Bhd. bersama agensi pelaburan negeri-negeri SG4, dengan sokongan sekretariat negeri melibatkan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Unit Pemantauan & Pelaksanaan Strategik (SPARK) Pejabat Menteri Besar Kelantan, Institut Kajian Strategik Darul Aman (IKTIKAD) dan UniSHAMS, Kedah.

Program ini mendapat maklum balas yang baik daripada pelbagai pihak. Namun pada saya, lebih penting daripada kejayaan penganjurannya ialah apa yang sebenarnya sedang cuba dibina melalui kerjasama Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.

Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapan beliau menyebut SG4 sebagai “a sleeping giant”, sebuah gergasi yang sedang tidur. Istilah ini menarik untuk direnungkan.

anak tun

haim

Empat negeri SG4 mempunyai penduduk sekitar 5.7 juta orang dengan keluasan lebih 38,000 kilometer persegi. Pada tahun 2025, jumlah KDNK empat negeri ini sekitar RM133.4 bilion. Dalam tempoh 2020 hingga 2025 pula, jumlah pelaburan yang diluluskan mencecah RM220.43 bilion dengan potensi lebih 76,000 peluang pekerjaan. Dalam tempoh 2021 hingga 2024, SG4 menghasilkan sekitar 131,600 graduan.

 

Jadi persoalannya bukan kerana kita tidak ada sumber, pelaburan atau manusia. Persoalan sebenar ialah sejauh mana semua kekuatan ini dapat disusun supaya benar-benar memberi kesan kepada ekonomi negeri dan kehidupan rakyat.

 

Pada saya, untuk gergasi ini benar-benar bangkit dan mengambil tempat dalam menentukan masa depan ekonomi negara, sekurang-kurangnya ada empat cabaran besar yang perlu kita selesaikan.

 

Cabaran pertama ialah bergerak daripada memiliki sumber kepada mencipta nilai.

 

Sesuatu sumber boleh dikeluarkan daripada sesebuah negeri, tetapi sebahagian besar nilai ekonominya diwujudkan di tempat lain. Pelaburan yang besar pula belum tentu membina rantaian pembekal tempatan, manakala perkembangan industri tidak semestinya membawa pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat tempatan.

 

Kita boleh ada petroleum, gas, mineral, tanah pertanian, kawasan industri dan pelabuhan. Tetapi siapa yang memproses? Siapa memiliki teknologi? Siapa menjadi pembekal? Berapa banyak syarikat tempatan yang berkembang bersama industri tersebut?

 

REE menjadi contoh yang jelas. Nilai mineral tidak berhenti apabila ia dikeluarkan daripada tanah. Selepas itu ada pemisahan, penapisan, pemprosesan, pembuatan komponen dan pembangunan produk. Kalau kita hanya mengeluarkan dan menjual sumber, sedangkan nilai besar selepas itu dibuat di tempat lain, berapa banyak sebenarnya yang tinggal kepada negeri?

 

Dalam Islam, pembangunan sumber tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab manusia sebagai khalifah. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika menghuraikan konsep ini turut menegaskan bahawa manusia ditugaskan untuk memakmurkan bumi, bukan merosakkannya.

 

Allah SWT berfirman:

 

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ إِنِّی جَاعِلٌ فِی ٱلۡأَرۡضِ خَلِیفَةًۖ …﴿ ٣٠ ﴾

 

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.”
(Al-Baqarah: 30)

 

Allah SWT juga berfirman:

 

وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِی ٱلۡأَرۡضِ لِیُفۡسِدَ فِیهَا وَیُهۡلِكَ ٱلۡحَرۡثَ وَٱلنَّسۡلَۚ وَٱللَّهُ لَا یُحِبُّ ٱلۡفَسَادَ﴿ ٢٠٥ ﴾

 

Maksudnya: “Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi untuk melakukan bencana padanya dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.” (Al-Baqarah: 205)

 

Sebab itu sumber bukan sekadar untuk dikeluarkan, tetapi perlu diurus dengan ilmu, dibangunkan nilainya dan dimanfaatkan kepada manusia.

 

Cabaran kedua ialah menyatukan kekuatan empat negeri.

 

Tidak perlu semua negeri buat benda yang sama.

 

Terengganu mempunyai kekuatan dalam petroleum dan gas, petrokimia, maritim dan pelancongan. Kelantan dalam agroindustri, halal, perdagangan sempadan dan mineral. Kedah sudah kuat dalam pembuatan teknologi tinggi, semikonduktor, pertanian dan logistik, manakala Perlis mempunyai kelebihan dalam perdagangan sempadan, tenaga boleh baharu dan hubungan dengan selatan Thailand.

 

Kalau setiap negeri bergerak sendiri, kita hanya melihat kekuatan negeri masing-masing. Tetapi kalau kekuatan ini disambungkan, kita boleh mula bercakap tentang satu rantaian ekonomi SG4.

 

Sebab itu cadangan SG4 Integrated Economic Corridor perlu diberi perhatian. Kulim, Tok Bali, Kerteh, Kemaman, Perlis Inland Port dan kawasan industri lain perlu dilihat dalam satu jaringan yang menghubungkan industri, logistik, tenaga, pasaran dan manusia.

 

Dalam menjayakan perkara ini, Kerajaan Persekutuan mempunyai peranan yang penting. Pembangunan wilayah perlu dilihat berasaskan prinsip keadilan, keperluan pembangunan dan kepentingan nasional supaya potensi setiap negeri dapat digerakkan secara optimum.

 

Allah SWT berfirman:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

 

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Ma’idah: 8)

 

Dalam konteks hubungan Persekutuan-negeri, prinsip ini penting supaya pembangunan sentiasa berpaksikan keadilan dan kepentingan rakyat. Kalau kedua-duanya bergerak dalam kerangka ini, saling menghormati bidang kuasa dan melihat kemajuan negeri sebagai sebahagian daripada kemajuan negara, akhirnya Malaysia sendiri yang mendapat manfaat.

 

 

Cabaran ketiga ialah pelaksanaan.

 

Kita sebenarnya tidak kurang pelan, idea dan cadangan projek. Masalahnya banyak kali bermula apabila masuk ke peringkat pelaksanaan.

 

Sebab itu kejayaan tidak boleh hanya diukur melalui berapa banyak MoU ditandatangani atau berapa besar angka pelaburan diumumkan. Kita perlu melihat berapa pelaburan yang benar-benar direalisasikan, berapa nilai yang kekal dalam ekonomi tempatan, berapa pekerjaan berkualiti diwujudkan dan sejauh mana syarikat tempatan masuk dalam rantaian bekalan.

mbi

Dalam kerangka pengurusan Islam, perancangan sahaja tidak memadai. Amanah perlu diterjemahkan kepada tanggungjawab yang jelas, pelaksanaan yang tersusun, pemantauan yang berterusan dan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

 

SG4 selepas ini memerlukan penyelarasan yang lebih kukuh. Data empat negeri perlu dapat dibaca bersama, projek rentas negeri dikenal pasti dan halangan antara agensi diselesaikan. Struktur governans juga perlu diperkukuhkan supaya wujud kejelasan peranan, mekanisme membuat keputusan dan sistem pemantauan yang berkesan.

 

Model governans seperti East Coast Economic Region Development Council (ECERDC) dan Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) mungkin boleh diteliti sebagai rujukan, khususnya dari sudut penyelarasan antara negeri, hubungan dengan Kerajaan Persekutuan, pemudahcaraan pelaburan serta pelaksanaan dan pemantauan projek.

 

Cabaran keempat ialah manusia.

 

Tun Dr. Mahathir mengingatkan bahawa aset sebenar SG4 ialah rakyatnya sendiri. Beliau menyebut bagaimana orang Kelantan sudah lama menonjol dalam perniagaan makanan dan katering di negeri-negeri Pantai Barat, manakala orang Terengganu pula sudah mula menyaingi mereka. Ramai usahawan Melayu yang berjaya di Kuala Lumpur, Selangor dan negeri-negeri lain sebenarnya berasal daripada negeri-negeri SG4.

 

Pada saya, ini menunjukkan bahawa kita sudah mampu melahirkan manusia yang boleh berniaga, bekerja dan bersaing.

 

Persoalannya ialah, bagaimana kita menyediakan ekosistem supaya bakat, kepakaran dan keusahawanan itu juga mempunyai ruang untuk berkembang di negeri sendiri?

 

Kita tidak mahu menghalang anak-anak SG4 pergi jauh. Tetapi ekonomi negeri mesti cukup berkembang sehingga mereka mempunyai pilihan untuk kembali, membuka syarikat, membawa teknologi, melabur dan membina kerjaya bernilai tinggi di SG4.

 

Kita mempunyai lebih 131,000 graduan yang dihasilkan dalam tempoh beberapa tahun. Jadi persoalannya bukan sekadar berapa ramai yang kita lahirkan.

 

Di mana mereka akhirnya mencipta nilai?

 

Dalam mana-mana sistem, manusia akhirnya menjadi faktor yang menentukan sama ada dasar, struktur dan teknologi dapat menghasilkan nilai atau sebaliknya. Kalau SG4 mahu bergerak dalam semikonduktor, mineral kritikal, bahan termaju, tenaga hijau, teknologi maritim dan logistik, pembangunan industri dan pembangunan bakat mesti berjalan serentak.

 

drsam

Empat cabaran ini sebenarnya saling berkait. Sumber tanpa manusia tidak akan mencipta nilai. Manusia tanpa sistem tidak akan bergerak secara tersusun. Sistem tanpa pelaksanaan tidak akan menghasilkan apa-apa. Dan semua ini memerlukan prinsip serta nilai yang menjadi panduan kepada arah pembangunan.

 

Dalam kesibukan melihat perkara-perkara besar ini, saya juga mahu merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bekerja di belakang tabir menjayakan SG4 Business & Economic Forum 2026, terutama pasukan sekretariat yang bertungkus-lumus menyiapkan kerja teknikal supaya program ini mencapai objektifnya.

 

Terima kasih kepada pasukan SG4 Group Sdn. Bhd., TSIS, SPARK, IKTIKAD, UniSHAMS, agensi pelaburan negeri serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.

 

Forum sudah selesai. Selepas ini, kerja sebenar ialah bagaimana semua perkara yang telah dibincangkan diterjemahkan kepada tindakan.

 

Dan mungkin di situlah kita akan tahu sama ada sleeping giant yang disebut oleh Tun Dr. Mahathir itu benar-benar sudah mula bangkit untuk menerajui masa depan Malaysia.

 


Dr. Zulhimi Abd Rahman ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Kongsi berita ini:

WhatsApp
Facebook
Twitter
LinkedIn