Krisis Geopolitik Asia Barat 2026: Bagaimana Malaysia Harus Menghadapi Cabaran Ekonomi Global

geopolitik

Oleh: Nur Mohd Shukri bin Mohamad

Intisari (Janaan AI)
  • Ketegangan geopolitik di Asia Barat serta penutupan laluan laut utama seperti Selat Hormuz telah menekan ekonomi Malaysia secara langsung—melonjakkan kos pengangkutan, menjejaskan bekalan bahan mentah industri tempatan, dan menghimpit poket rakyat akibat kenaikan kos sara hidup serta harga makanan.
  • Kebergantungan tinggi terhadap subsidi pukal bahan api telah menyerap sebahagian besar hasil petroleum negara, sekali gus menyempitkan ruang perbelanjaan kerajaan, melebarkan defisit belanjawan, dan membawa paras hutang negara menghampiri had maksimum undang-undang.
  • Penstrukturan semula subsidi secara bersasar melalui bantuan tunai terus kepada golongan memerlukan mesti disegerakan, di samping pengurusan dasar kewangan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang teliti bagi mengimbangi kadar faedah, inflasi, dan turun naik nilai Ringgit.
  • Malaysia perlu menjadikan krisis ini sebagai pemangkin perubahan melalui empat strategi utama: memodenkan pemantauan bekalan bahan mentah menggunakan teknologi digital dan AI, mempercepat pelaburan tenaga hijau, memperkukuh pengeluaran pertanian tempatan, serta memanfaatkan kerjasama serantau ASEAN.
  • Kejayaan negara pada masa hadapan bukan lagi diukur melalui angka pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya bergantung pada ketahanan sistem dan keupayaan mengubah kelemahan sedia ada menjadi ekonomi serantau yang lebih kukuh serta kalis krisis.

Tahun 2026 menyaksikan dunia sekali lagi berdepan pergolakan geopolitik yang menggoncang asas ekonomi global. Konflik yang memuncak di Asia Barat membuktikan bahawa krisis di satu wilayah mampu mencetuskan kesan besar terhadap perdagangan antarabangsa, bekalan barangan dunia, dan harga komoditi. Bagi Malaysia yang bergantung kuat pada aktiviti eksport serta perdagangan laut, pergolakan ini bukan sekadar isu luar negara, sebaliknya tekanan langsung kepada ekonomi tempatan dan poket rakyat.

Apabila laluan laut utama seperti Selat Hormuz ditutup, pergerakan kapal dagang merosot teruk. Kesannya terus dirasai apabila harga minyak mentah dunia (Brent) melonjak melepasi AS$100 setong, manakala bekalan Gas Asli Cecair (LNG) pula menyusut dengan ketara. Keadaan bertambah rumit apabila syarikat perkapalan terpaksa menggunakan laluan yang lebih jauh. Langkah ini meningkatkan kos bahan api dan insurans kapal, selain melambatkan tempoh penghantaran barang. Akhirnya, peniaga dan pengguna di Malaysia terpaksa menanggung kos pengangkutan yang semakin mahal.

Kesan rantaian ini turut memukul industri utama negara seperti sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta petrokimia. Banyak kilang tempatan masih bergantung pada bekalan bahan mentah dari luar negara tanpa mempunyai pelan alternatif yang kukuh. Apabila bekalan bahan mentah penting seperti nafta, gas petroleum cecair (LPG), dan helium industri terganggu, operasi pengeluaran di dalam negara turut terjejas.

Apa yang lebih membimbangkan, gangguan bekalan dunia ini akhirnya menekan kos sara hidup rakyat. Sebagai contoh, lonjakan harga baja import—terutamanya baja urea yang naik mendadak sekitar 89 peratus (%)—memberi tamparan hebat kepada petani tempatan dan menaikkan kos pengeluaran makanan. Jika berlarutan, kenaikan harga barang import ini akan menjejaskan bekalan makanan negara dan mengurangkan kuasa beli rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar.

Dilema Fiskal dan Subsidi Negara

Dari sudut fiskal pula, krisis ini mendedahkan dilema lama negara, iaitu kebergantungan tinggi kepada subsidi pukal bahan api. Secara teorinya, kenaikan harga minyak dunia sepatutnya menambah pendapatan kerajaan melalui hasil petroleum. Namun hakikatnya, sebahagian besar keuntungan itu habis digunakan semula untuk menampung bil subsidi petrol dan diesel yang melambung demi mengawal harga pasaran tempatan.

Akibatnya, ruang perbelanjaan kerajaan menjadi semakin sempit. Defisit belanjawan terus melebar, manakala paras hutang negara kini mencecah sekitar 64 peratus (%) —hampir menyentuh had maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang. Keadaan ini menyukarkan kerajaan untuk menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada keperluan asas rakyat seperti pendidikan, kesihatan, dan kemudahan awam.

Justeru, penstrukturan semula fiskal negara tidak boleh ditangguhkan lagi. Pemberian subsidi secara bersasar perlu dilaksanakan dengan lebih menyeluruh melalui bantuan tunai terus kepada golongan yang memerlukan. Langkah ini jauh lebih adil dan mampan kerana bantuan sampai tepat kepada golongan sasaran tanpa membebankan kewangan negara secara berlebihan.

Pada masa yang sama, Bank Negara Malaysia (BNM) perlu bijak mengimbangi dasar kewangan negara berdasarkan keadaan semasa. Penetapan Kadar Dasar Semalaman (OPR) memerlukan pertimbangan yang sangat teliti. Jika kadar faedah dinaikkan terlalu mendadak, ia boleh memperlahankan ekonomi dan membebankan peminjam; namun jika dibiarkan terlalu rendah, risiko kenaikan harga barang pula sukar dikawal.

Dalam hal ini, turun naik nilai Ringgit juga perlu ditangani secara praktikal. Membiarkan nilai mata wang menyerap sebahagian tekanan ekonomi luar dapat membantu melindungi rizab kewangan negara daripada susut mendadak, asalkan keyakinan pelabur terhadap kekuatan asas ekonomi negara terus terpelihara.

Strategi Memperkukuh Daya Tahan Negara

Malaysia tidak boleh sekadar bertahan, sebaliknya mesti menjadikan krisis ini sebagai peluang untuk mempercepatkan perubahan ekonomi negara melalui empat strategi utama:

  1. Memodenkan Pengurusan Bekalan: Syarikat tempatan perlu memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) untuk memantau laluan bekalan bahan mentah. Dengan sistem yang lebih pintar, risiko gangguan bekalan dapat dikesan lebih awal supaya tindakan pantas dapat diambil sebelum operasi kilang tergendala.
  2. Mempercepatkan Tenaga Hijau: Kerajaan perlu menggandakan pelaburan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui seperti ladang solar berskala besar dan hidrogen hijau. Langkah ini bukan sahaja baik untuk alam sekitar, malah menjadi benteng jangka panjang supaya negara tidak lagi terperangkap dengan turun naik harga minyak dan gas dunia. Dalam dunia hari ini, jaminan bekalan tenaga sama pentingnya dengan pertahanan negara.
  3. Memperkukuh Sektor Pertanian Tempatan: Dasar pertanian negara mesti memberi tumpuan kepada peningkatan hasil tempatan, penggunaan teknologi moden, dan mengurangkan kebergantungan kepada baja serta input import. Jaminan bekalan makanan bukan lagi isu petani semata-mata, tetapi soal keselamatan negara yang melibatkan kelangsungan hidup semua rakyat.
  4. Memanfaatkan Kekuatan ASEAN: Kedudukan Malaysia dalam ASEAN adalah satu kelebihan besar. Sebagai negara berkecuali yang berbaik dengan semua pihak, Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk mengimbangi hubungan dengan kuasa-kuasa besar dunia tanpa terheret dalam konflik mereka. Malaysia perlu menerajui kerjasama serantau untuk memperkukuh rangkaian tenaga, perdagangan, dan kemudahan rentas sempadan supaya rantau Asia Tenggara lebih kebal menghadapi kejutan ekonomi dunia.

Pergolakan ekonomi tahun ini membuktikan bahawa dunia sedang memasuki fasa baharu yang lebih mencabar dan sukar diramal. Kejayaan sesebuah negara kini bukan lagi diukur melalui angka pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi sejauh mana ketahanan sistem dan rakyatnya mendepani krisis luar jangka.

Malaysia masih mempunyai ruang dan kekuatan untuk menyesuaikan diri, namun masa untuk bertindak semakin suntuk. Pembaharuan subsidi yang berani, pengurusan kewangan yang tangkas, peralihan tenaga hijau, jaringan bantuan rakyat yang cekap, serta kerjasama erat ASEAN mesti bergerak seiring. Jika kelemahan sedia ada berjaya diubah menjadi pemangkin pembaharuan, Malaysia bukan sahaja mampu bertahan, malah akan bangkit sebagai sebuah ekonomi serantau yang lebih kukuh, berdaya saing, dan kalis krisis pada masa hadapan.


Nur Mohd Shukri bin Mohamad ialah Pegawai Penyelidik, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS).

Kongsi berita ini:

WhatsApp
Facebook
Twitter
LinkedIn