Penulis: Eikhwan Ali

| Intisari (Janaan AI) |
|---|
|
Saya masih teringat dan sangat tertarik dengan ucapan Menteri Besar Terengganu dalam satu majlis sebelum ini. Kata beliau, “Saya amat berharap agar acara dan hiburan yang diadakan di negeri ini benar-benar menjadi platform yang merehatkan jiwa, menyegarkan minda dan menyejahterakan masyarakat ke arah mencapai keredaan Allah SWT.”
Kenyataan ringkas beliau ini bukan sahaja menggambarkan keterbukaan Kerajaan Negeri Terengganu terhadap penganjuran sebarang acara dan hiburan di negeri ini, malah lebih penting menggariskan ‘benchmark’ bagi setiap acara dan hiburan yang diadakan itu. Penanda aras ini bukan sahaja perlu menjadi panduan penting kepada pihak penganjur, bahkan lebih mustahak untuk diterjemahkan dahulu terutamanya oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), melalui pelesenan dan pengawalseliaan supaya meningkatkan kepatuhan terhadap enakmen, kaedah-kaedah dan garis panduan yang berkenaan.
Namun, apabila berulang kali berlaku isu ketidakpatuhan ini sehingga mencetuskan kontroversi awam, tanpa dinafikan bahawa pihak penganjur memang patut dipertanggungjawabkan atas kesalahan itu, persoalan yang lebih besar yang perlu dijawab ialah sejauh manakah kerangka tadbir urus dan amalan sedia ada di peringkat PBT benar-benar berkesan dalam menangani isu ini lebih-lebih lagi sebelum acara atau hiburan itu dilangsungkan?
Saya faham dan akui bahawa perkara ini mungkin menjadi lebih kompleks kerana PBT beroperasi dalam persekitaran yang melibatkan pelbagai undang-undang dan peraturan di peringkat Persekutuan, negeri dan tempatan disamping ketetapan-ketetapan berkaitan Syariah, sehingga boleh menghasilkan tafsiran dan pendekatan penguatkuasaan yang tidak seragam. Keadaan ini boleh menyukarkan bukan sahaja penganjur, tetapi juga pegawai yang bertanggungjawab membuat semakan dan keputusan.
Kelemahan struktur organisasi, kapasiti institusi yang terhad dan pembahagian tanggungjawab yang kurang jelas juga boleh menjejaskan penguatkuasaan. Apabila sesuatu proses melibatkan beberapa jabatan atau agensi, kelemahan koordinasi meningkatkan risiko sesuatu perkara terlepas daripada semakan yang mengakibatkan aspek tertentu dinilai lulus manakala mungkin banyak lagi aspek lain yang boleh dipersoalkan tahap kepatuhannya.
Atas sebab itu, proses kelulusan tidak seharusnya difahami sebagai urusan pentadbiran untuk mengeluarkan lesen atau permit sahaja. PBT, terutamanya Pegawai Pelesen dan termasuk Ahli-ahli Majlis yang dilantik, perlu mengetahui dengan lebih jelas apakah acara yang hendak dianjurkan, siapakah yang terlibat, apakah bentuk aktiviti yang akan dijalankan dan bagaimana acara tersebut akan dipromosikan kepada masyarakat.
Semakan juga perlu mengambil kira perubahan yang dibuat selepas permohonan diluluskan. Poster, kandungan media sosial, senarai artis atau peserta, serta bentuk persembahan dan susunan program, semuanya boleh berubah antara tarikh permohonan dengan tarikh pelaksanaan. Jika sistem hanya menilai dokumen pada peringkat awal tanpa mekanisme semakan susulan, wujud ruang antara perkara yang diluluskan dengan perkara yang akhirnya dilaksanakan. Di sinilah pemantauan sebelum acara menjadi sama penting dengan proses kelulusan itu sendiri.
Pendekatan yang terlalu bergantung pada tindakan selepas kontroversi berlaku mempunyai beberapa kelemahan dan ia adalah “red flag” yang patut ditangani segera. Ini kerana, apabila PBT hanya bertindak selepas menerima aduan, selepas isu menjadi tular atau selepas acara selesai, penguatkuasaan mungkin dilihat sebagai tindakan mengurus krisis semata-mata dan bukannya sebahagian daripada sistem kawal selia yang sistematik dan efektif.
Tadbir urus secara reaktif juga membawa kesan yang lebih luas kepada PBT. Pertama, keyakinan masyarakat boleh terjejas apabila orang ramai melihat peraturan hanya dikuatkuasakan selepas sesuatu isu mendapat perhatian. Kedua, penganjur sendiri berdepan ketidakpastian sekiranya syarat atau tafsiran terhadap peraturan dilihat berubah mengikut keadaan. Ketiga, tindakan yang tidak konsisten boleh mewujudkan persepsi bahawa penguatkuasaan bergantung pada tekanan awam dan bukan prosedur yang tetap. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menjejaskan kredibiliti institusi serta menyukarkan PBT membina budaya pematuhan dalam kalangan penganjur.
Justeru, penilaian dan penambahbaikan ke atas keseluruhan proses ini dari awal sehingga akhir, terutamanya melibatkan semakan latar belakang penganjur, jenis acara, lokasi, peserta dan kandungan promosi adalah suatu keperluan yang mendesak.
PBT juga sewajarnya menggunakan senarai semak pematuhan yang standard supaya perkara berkaitan lesen, keselamatan, kandungan, pengiklanan serta keperluan agensi lain, diperiksa secara sistematik. Bagi acara yang memerlukan kelulusan beberapa pihak, mekanisme semakan bersama atau perkongsian maklumat antara jabatan dan agensi boleh mengurangkan risiko keputusan dibuat secara berasingan tanpa gambaran keseluruhan. Menerusi aplikasi teknologi digital dan AI juga, sistem penilaian kendiri sebelum mengemukakan permohonan rasmi juga amat baik untuk dilaksanakan bagi memudahkan pihak penganjur membuat semakan awal mengenai pematuhan terhadap enakmen dan garis panduan yang berkenaan.
Pencegahan juga memerlukan syarat lesen atau permit yang mudah difahami. Penganjur perlu mengetahui bukan sahaja perkara yang dilarang, tetapi juga perkara yang perlu dilakukan sebelum dan semasa acara. Syarat tersebut wajar meliputi kewajipan memaklumkan perubahan program, peserta atau bahan promosi selepas kelulusan diberikan.
Untuk acara yang mempunyai risiko pematuhan lebih tinggi, PBT boleh mempertimbangkan pemeriksaan pra-acara dan pemantauan semasa program berlangsung. Saluran aduan pula perlu berfungsi sebagai mekanisme tambahan, bukan sebagai sumber utama untuk mengesan pelanggaran. Rekod ketidakpatuhan terdahulu juga boleh digunakan untuk menentukan tahap pemantauan terhadap permohonan seterusnya, tertakluk kepada prosedur yang telus dan adil.
Perubahan daripada ‘reactive enforcement’ kepada ‘preventive governance’ ini memerlukan perubahan cara keberkesanan PBT dinilai. Kejayaan tidak seharusnya diukur hanya melalui jumlah kompaun, pembatalan lesen dan permit atau kepantasan tindakan selepas kontroversi berlaku. Ukuran yang lebih bermakna ialah sejauh mana risiko dikenal pasti lebih awal, syarat difahami oleh penganjur, agensi berkaitan berkongsi maklumat, pemantauan dilakukan secara konsisten dan pelanggaran dapat dicegah sebelum memberi kesan kepada masyarakat. Dengan pendekatan ini, pematuhan tidak lagi bergantung kepada krisis atau tekanan selepas kejadian. Sebaliknya, ia menjadi sebahagian daripada sistem pentadbiran yang tersusun, jelas dan boleh dijangka.
Mohd Eikhwan M Ali ialah Pegawai Eksekutif Strategi, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS).













