MEMPERKUKUH KOMUNIKASI STRATEGIK MELALUI SIMULASI PENGURUSAN KRISIS

Penulis : Nur Zahirah

mi

Intisari (Janaan AI)
  • Kepentingan Komunikasi Strategik dalam Pengurusan Krisis Komunikasi strategik yang berkesan memerlukan ketenangan, ketepatan tindakan dan perancangan yang tersusun bagi memastikan krisis dapat dikendalikan secara profesional.
  • Pendedahan kepada Pengurusan Krisis Kursus Komunikasi Strategik selama dua hari pada 22 dan 23 September 2026 di Hotel Primula, Kuala Terengganu memberikan pendedahan tentang peranan komunikasi dalam menghadapi situasi krisis yang tidak dijangka.
  • Simulasi Sidang Media (Press Conference) Peserta menyertai simulasi sidang media dengan memainkan pelbagai peranan seperti CEO, COO dan pemerhati media bagi menguji keupayaan mengendalikan krisis dalam situasi yang menyerupai keadaan sebenar.
  • Kepentingan Kerjasama dan Kawalan Emosi Simulasi menekankan kepentingan kerjasama pasukan, penyelarasan mesej, kawalan emosi dan ketenangan ketika membuat keputusan serta menjawab pertanyaan media.
  • Pengukuhan Kemahiran Komunikasi Strategik Kursus ini memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna dalam meningkatkan keyakinan, kemahiran komunikasi dan kesediaan peserta untuk menghadapi cabaran pengurusan krisis secara lebih profesional.

Pengurusan krisis yang berkesan bukan sekadar bergantung pada keupayaan menyampaikan maklumat, malah ia memerlukan ketenangan, ketepatan tindakan dan strategi komunikasi yang tersusun. Perkara ini antara intipati yang ditekankan sepanjang Kursus Komunikasi Strategik yang berlangsung selama dua hari, pada 22 dan 23 September 2026, bertempat di Hotel Primula, Kuala Terengganu anjuran Terengganu Strategic & Integrity Institute dan penglibatan peserta dari GLCs.

Kursus yang disampaikan oleh Abdul Latiff Puteh, telah memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai kepentingan komunikasi strategik, khususnya dalam menghadapi situasi krisis yang tidak dijangka. Melalui perkongsian ilmu dan aktiviti praktikal, peserta berpeluang memahami dengan lebih mendalam peranan komunikasi dalam memastikan sesuatu krisis dapat dikendalikan secara profesional dan terancang.

Antara aktiviti yang paling ditekankan sepanjang kursus ialah simulasi sidang media (press conference) yang mencabar peserta mengendalikan krisis dalam situasi yang tegang dan menyerupai keadaan sebenar. Dalam simulasi tersebut, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diberikan peranan serta tanggungjawab yang berbeza, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ketua Pegawai Operasi (COO), pemerhati media (media observer) dan beberapa peranan lain yang berkaitan dengan pengurusan sidang media.

Peserta diberikan satu senario krisis yang perlu ditangani melalui sidang media. Peserta bukan sahaja perlu menyediakan maklum balas terhadap isu yang diberikan, malah perlu memastikan setiap kenyataan disampaikan dengan jelas, tepat dan bersesuaian dengan situasi. Simulasi ini turut menguji kebolehan peserta untuk bekerjasama, membuat keputusan dalam keadaan tenang serta menjawab persoalan yang dikemukakan seolah-olah berhadapan dengan pihak media sebenar.

Pengalaman tersebut membuka perspektif baharu tentang cabaran sebenar yang dihadapi oleh pengamal komunikasi, khususnya ketika berhadapan dengan krisis yang berlaku secara tiba-tiba. Dalam situasi berkaitan, setiap kenyataan dan tindakan perlu dipertimbangkan dengan teliti kerana kesilapan dalam penyampaian maklumat berpotensi mencetuskan salah faham atau memburukkan lagi keadaan sehingga mewujudkan krisis kedua.

Melalui simulasi ini, peserta turut didedahkan kepada kepentingan mengawal emosi, mengekalkan ketenangan dan memastikan komunikasi berjalan secara profesional walaupun berada dalam keadaan tegang. Selain itu, pembahagian peranan dalam pasukan memperlihatkan betapa pentingnya kerjasama dan penyelarasan antara pihak pengurusan, khususnya dalam memastikan mesej yang disampaikan kepada media adalah konsisten dan tidak bercanggah.

Secara keseluruhannya, kursus selama dua hari ini memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna dan membuka ruang kepada para peserta untuk menilai semula pendekatan mereka dalam mengendalikan komunikasi, terutamanya ketika berhadapan dengan situasi yang tidak dijangka. Pengalaman melalui simulasi sidang media membuktikan bahawa pengurusan krisis bukan hanya tentang memberikan jawapan, tetapi juga tentang cara mengawal keadaan, membina keyakinan dan memastikan setiap tindakan diambil dengan penuh pertimbangan.

Kursus ini diharapkan dapat menjadi pengalaman bermakna kepada pengukuhan kemahiran komunikasi strategik dalam kalangan peserta, sekali gus membantu mereka menghadapi cabaran komunikasi dengan lebih bersedia, tenang dan profesional pada masa hadapan.


Nur Zahirah binti Muhammad Nasron Pelatih Industri, Komunikasi Strategik, Terengganu Stategic & Integrity Institute (TSIS)

Kongsi berita ini:

WhatsApp
Facebook
Twitter
LinkedIn