MEMBINA MODUL KOMUNIKASI STRATEGIK BERKESAN DEPANI KECELARUAN MAKLUMAT

Penulis: Haziq Adlan

gambar artikel haziq

Intisari (Janaan AI)
  • Krisis kepercayaan dan kegelisahan awam semakin meningkat akibat penularan tiga bentuk kecelaruan maklumat digital, iaitu salah maklumat (misinformation), berita palsu berniat jahat (disinformation), serta maklumat yang dimanipulasi (malinformation).
  • Modul komunikasi strategik ini dirangka berteraskan empat indikator utama, iaitu psikologi kognitif manusia, literasi maklumat digital, kemahiran analisis sumber terbuka, dan Prosedur Operasi Standard (SOP).
  • Keberkesanan modul didorong oleh gabungan pegawai pelaksana (seperti pegawai penerangan, jurucakap rasmi, dan pengamal media) selaku perangka naratif rasmi, serta pemimpin masyarakat setempat yang bertindak sebagai benteng penapis maklumat sukarela di peringkat akar umbi.
  • Pendekatan holistik diperlukan bagi menangani penyebaran maklumat di platform media sosial terbuka (seperti TikTok, Facebook, dan X) serta aplikasi pesanan tertutup melalui penyediaan mesej mikro berasaskan grafik atau audio ringkas berserta program libat urus komuniti.
  • Modul ini menitikberatkan fasa pencegahan awal (prebunking) untuk membina daya tahan pemikiran masyarakat sebelum isu tular, serta fasa respon pantas (golden hour) dengan mengeluarkan kenyataan penahan (holding statement) dalam tempoh 60 minit pertama krisis.
  • Pengurusan krisis maklumat yang cekap berupaya mengelakkan pembaziran masa dan kos agensi awam atau keselamatan dalam menyiasat berita palsu, sekali gus membolehkan penjimatan dana awam disalurkan kepada kebajikan rakyat.

 

Pada era komunikasi digital yang serba mencabar pada hari ini, setiap organisasi meliputi agensi awam dan swasta serta masyarakat umum menghadapi suatu krisis baharu, iaitu krisis kepercayaan yang serius ekoran kelompongan persekitaran maklumat. Dengan kewujudan fenomena kecelaruan maklumat yang ada pada hari ini seperti salah maklumat (misinformation), berita palsu yang berniat jahat (disinformation) dan juga maklumat yang dimanipulasi untuk merosakkan kredibiliti (malinformation) telah menyebabkan berlakunya kecelaruan maklumat yang semakin membarah dalam kalangan masyarakat.

Kecelaruan maklumat pada hari ini bukan hanya sekadar gangguan komunikasi picisan, malahan telah menular menjadi satu krisis yang meracuni pola pemikiran masyarakat. Dalam ekosistem digital yang begitu kompleks hari ini, masyarakat amnya seolah-olah tidak lagi mampu membezakan antara kebenaran rasional dan manipulasi maklumat. Penularan maklumat palsu dan fitnah berniat jahat kini telah jauh meresap ke dalam perbualan harian rakyat seterusnya mencetuskan kegelisahan awam dan kadang-kala meniup api perkauman, berupaya menghakis kepercayaan terhadap autoriti institusi.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) mengambil peluang ini dengan giat berusaha membangunkan suatu modul komunikasi strategik yang komprehensif dan berstruktur bagi memperkasa pengamal media dan komunikasi di peringkat negeri Terengganu. Modul ini menggabungjalinkan empat indikator utama iaitu pertamanya ialah, psikologi kognitif manusia. Keduanya, literasi maklumat digital dan juga kemahiran analisis sumber terbuka dan yang terakhirnya ialah Prosedur Operasi Standard (SOP).

Inisiatif ini disasarkan secara khusus kepada pegawai perhubungan awam, petugas penerangan serta pengamal media rasmi di setiap jabatan dan agensi kerajaan negeri. Pembangunan modul ini tidak lain tidak bukan hanya bermatlamat untuk memperkemas penyampaian maklumat dan menyelaraskan naratif dasar kerajaan negeri secara tepat, konsisten serta berkesan. Melalui kaedah latihan amali secara berstruktur ini juga, pengamal komunikasi akan dibekalkan dengan kemahiran advokasi moden bagi mendepani cabaran landskap digital serta krisis berita palsu yang berlegar dalam minda rakyat. Usaha proaktif ini diharapnya berupaya memperkukuh integriti tadbir urus kerajaan sekali gus memastikan agenda pembangunan Terengganu difahami sepenuhnya oleh seluruh rakyat sehingga ke peringkat akar umbi.

Pembinaan modul ini dilihat amat penting dan selari dengan realiti kini disebabkan perubahan ekosistem digital yang begitu mencabar dan kompleks. Kita dihidangkan dengan pelbagai berita yang terpampang di muka utama media sosial sama ada yang benar atau palsu, seolah-olah kita telah hilang kewarasan dalam menilai kesahihan sesuatu berita. Ledakan maklumat salah, maklumat palsu berniat jahat serta maklumat yang dimanipulasi untuk merosakkan kredibiliti sekali lagi menjadi api pencetus kepada krisis maklumat pada hari ini. Fenomena ini telahpun menular jauh dengan lebih pantas dalam kalangan masyarakat dan memerlukan langkah intervensi segera yang berkesan daripada tindakan reaktif kepada tindakan strategik.

Keberkesanan sesuatu modul itu banyak dipengaruhi oleh dua faktor utama berikut iaitu pertamanya, di peringkat pelaksana antara kelompok yang memainkan peranan sangat penting ialah pegawai penerangan, jurucakap rasmi jabatan atau kementerian, pengamal perhubungan awam korporat serta pengamal media yang bertindak selaku penyusun naratif rasmi yang ingin dibawa. Namun demikian, faktor kedua yang berperanan sebagai kelompok pemimpin masyarakat setempat tidak dapat dinafikan lagi kerana mereka selaku mata dan telinga pihak kerajaan mewakili suara akar umbi rakyat. Dengan pengukuhan kefahaman terhadap kelompok ini makanya peranan mereka dapat diperkasakan lagi untuk menjadi benteng penapis maklumat secara sukarela apabila sesuatu isu berlaku, seterusnya dapat meredakan rasa panik dan kegusaran awam.

Perang media yang berlaku mutakhir ini memerlukan penyelesaian secara holistik. Di zaman kecelaruan maklumat ini, terdapat dua medan pertempuran maklumat utama iaitu platform media sosial dan aplikasi pesanan tertutup. Bagi medan pertama seperti Tiktok, Facebook dan X kini telah menjadi punca penularan sentimen berskala besar. Manakala pada medan tertutup pula memfokuskan kepada penularan berita atau mesej berantai yang tidak sahih seterusnya disebarkan secara meluas dalam kalangan keluarga dan juga sahabat handai tanpa kawalan. Hal inilah yang menjadi titik tolak penularan berita yang tidak benar sehingga menimbulkan kegusaran awam. Oleh itu, modul komunikasi strategik yang dirangka seharusnya melatih para pegawai komunikasi membentuk suatu penangkis media berkesan berbentuk mesej mikro berasaskan grafik dan audio pendek yang mudah disebarkan, di samping memperkukuh komunikasi dua hala melalui program libat urus komuniti setempat.

Faktor masa menjadi suatu titik tolak dalam menentukan sama ada sesuatu kebenaran itu mampu mematahkan kepalsuan. Di sinilah modul komunikasi strategik ini memainkan peranannya kepada dua fasa. Fasa pertama lebih kepada prebunking iaitu Fasa Pencegahan Awal, di mana kaedah membina daya tahan minda masyarakat amnya secara berterusan sebelum sesuatu isu menjadi polemik yang mendatangkan panik. Orang ramai akan didedahkan dengan taktik manipulasi licik supaya mereka tidak mudah terpedaya dengan helah dan dakyah sebenar tersebar. Dalam fasa kedua pula lebih tertumpu kepada golden hour iaitu Fasa Respon Pantas yang menuntut keupayaan penguasaan tempoh 60 minit pertama selepas berlakunya penyebaran sesuatu krisis maklumat. Melalui tempoh ini, komunikator dilatih untuk merangka suatu kenyataan penahan dengan pantas dan tangkas bagi mengisi kelompongan maklumat sebelum tersebarnya persepsi negatif dalam pemikiran masyarakat awam.

Sebagai sebuah kerajaan yang menitikberatkan soal kesejahteraan rakyat, kerajaan negeri sering diuji dengan krisis dan bencana tempatan meliputi bencana banjir, gangguan bekalan air dan isu kesihatan awam. Soalnya bagaimana tindakan pantas yang diambil oleh mereka dalam mendepani spekulasi liar yang berlegar di media sosial sehingga menimbulkan kepanikan awam. Oleh sebab itu, melalui modul ini jugalah pihak kerajaan dapat melatih agensi negeri dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk menguasai fasa golden hour dengan mengeluarkan holding statement dalam tempoh 60 minit pertama ketika krisis berlaku sebelum pihak lain memanipulasi naratif tersebut.


Ahmad Haziq Che Adlan ialah Pegawai Strategi Komunikasi, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS).

Kongsi berita ini:

WhatsApp
Facebook
Twitter
LinkedIn