Penulis: Haziq Adlan

| Intisari (Janaan AI) |
|---|
|
Dunia komunikasi telah mengalami perubahan yang sangat pantas sejak kebelakangan ini. Pelbagai platform baharu telah muncul disokong pula oleh perkembangan pesat teknologi maklumat di seluruh dunia. Perubahan ini secara tidak langsung telah menyebabkan berlakunya transformasi kepada sesebuah organisasi dalam mengurus komunikasi. Jika kita singkap pada masa lampau, kaedah komunikasi korporat bergerak secara sehala di mana organisasi itulah yang memegang kuasa mutlak ke atas penyebaran naratif, pengiklanan dan juga kenyataan rasmi. Namun demikian, masa terus bergerak dengan pantas menyebabkan ekosistem komunikasi berubah 360 darjah. Kini, medium komunikasi telah beralih ke alam maya yang merupakan platform lebih terbuka, saling berhubung dan dinamik. Dalam keterujaan kita memanfaatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), di sana terdapat suatu kelompongan yang besar di mana jika kita tidak menanganinya dengan berhemah, nescaya kita akan berdepan dengan kerapuhan kawalan mesej serta pelbagai risiko reputasi baharu yang belum pernah wujud sebelum ini.
Semasa Kursus Komunikasi Strategik di bawah kendalian Tuan Abdul Latiff Puteh, beliau menekankan lima aspek perubahan utama dalam landskap komunikasi digital. Aspek pertama yang diutarakan ialah kepantasan maklumat. Di zaman langit terbuka ini, segala maklumat, berita mahupun krisis yang berlalu di seantero dunia dapat diketahui secara serta-merta tanpa menunggu saluran media tradisional. Dalam hal ini, kepantasan maklumat yang berlaku menjadi faktor penentu yang meruntuhkan sepenuhnya dinamika penyampaian berita dan pengurusan sesuatu isu. Mari kita cuba renungkan, jika dahulu organisasi mempunyai masa yang mencukupi untuk merangka kenyataan media berjadual, tetapi kini segala-galanya telah berubah apabila dalam sekelip mata sahaja sebarang berita, insiden ataupun krisis terus tersebar ke alam maya. Oleh yang demikian, kepantasan maklumat ini secara tidak langsung telah melenyapkan tempoh bertenang dalam perhubungan awam di mana kelewatan sesaat memberikan penjelasan rasmi akan mendatangkan malapetaka besar buat organisasi. Justeru, perubahan ini menuntut komitmen luar biasa organisasi dalam menyediakan protokol komunikasi yang efektif bagi menangkis persepsi yang boleh meruntuhkan reputasi organisasi.
Aspek kedua yang ingin disentuh ialah struktur komunikasi digital sebenarnya telah meruntuhkan hierarki maklumat tradisional di mana masyarakat kini beralih peranan daripada pemerhati kepada pencipta kandungan, pengulas dan juga pengganda naratif. Dalam hal ini, mana-mana pemegang taruh telah mempunyai saluran peribadi masing-masing untuk melontarkan pandangan, menyuarakan kritikan dan juga berkongsi pengalaman mereka kepada warga maya sekalian. Jelaslah di sini memperlihatkan bahawa pengaruh organisasi tidak lagi eksklusif, sebaliknya terus dikongsi komuniti maya yang berupaya mengubah sesuatu isu kecil menjadi isu nasional yang meniti di bibir-bibir rakyat dalam sekelip mata sahaja.
Seterusnya, cabaran besar yang menanti organisasi ialah mereka tidak lagi berupaya mengawal sesuatu berita, mesej, naratif dan kenyataan yang disebarkan dan ditafsirkan oleh khalayak umum. Hakikat yang perlu ditelan oleh setiap organisasi, walaupun mereka telah berusaha menyusun sesuatu kenyataan media dengan rapi, akan tetapi jari-jemari pengguna media sosial dilihat lebih laju dalam mengolah fakta, mencipta naratif sampingan serta menambah persepsi mengikut emosi sendiri yang ternyata jauh menyimpang dari fakta kenyataan asal. Oleh yang demikian, ketidakupayaan mengawal warga netizen ini membuatkan pengamal komunikasi perlu bertindak selangkah ke hadapan dalam menyampaikan berita, pada masa yang sama juga mereka perlu merangka langkah intervensi segera sekiranya berita tersebut diputarbelitkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan berkepentingan.
Umum mengetahui bahawa arkib digital ini lebih bersifat mudah dijejaki sama ada interaksi, kenyataan mahupun kesilapan lampau sesebuah organisasi, bahkan perkara tersebut boleh diakses pada bila-bila masa sahaja meskipun telah dipadam. Dengan adanya tangkap layar dan rekod enjin carian yang kekal tersimpan rapi dalam pangkalan data pastinya sedikit sebanyak menghantui organisasi seandainya terdapat kesalahan lampau yang dilakukan dan kembali diungkit untuk dijadikan senjata musuh menyerang organisasi terbabit. Oleh sebab itu, hal inilah yang menuntut disiplin tinggi dan langkah berhati-hati dalam setiap tindakan serta penerbitan kandungan rasmi agar perkara tersebut tidak menjadi liabiliti organisasi kelak.
Di era komunikasi digital ini juga, keutuhan kredibiliti sesebuah organisasi itu tidak lagi bergantung kepada laporan tahunan dan pencapaian penghargaan yang diterima, akan tetapi hal ini tertakluk kepada sentimen semasa masyarakat awam. Perlu diingat bahawa pada zaman dunia di hujung jari ini, sebarang bentuk aduan awam, ketidakpuasan hati pengguna serta isu tatakelola yang terjadi boleh mencetuskan gelombang suara rakyat serta mempengaruhi persepsi dan keyakinan awam serta-merta. Oleh itu, gelombang ketidakpuasan akan merebak secara meluas tanpa sempat organisasi tersebut menjalankan siasatan terperinci secara menyeluruh.
Setiap kemajuan itu ada harga yang perlu dibayar. Mutakhir ini, masyarakat banyak bergantung kepada penggunaan model AI generatif secara meluas dalam segenap bidang. Namun demikian, ketiadaan proses semakan nyata terhadap maklumat yang diperolehi itu bakal menjerumuskan organisasi tersebut kepada penyebaran maklumat salah atau fakta yang diragui kesahihannya. Kita sedia maklum bahawa teknologi AI ini mampu memudahkan urusan manusia sama ada menghasilkan teks, data dan statistik serta hujah yang pada zahirnya nampak bijak, namun kadang-kala faktanya jauh terpesong sama sekali. Makanya, kemudahan AI ini perlu diselarikan dengan proses semakan silang oleh tenaga pakar manusia bagi menentusahihkan sesuatu fakta sebelum disebarkan kepada umum sekali gus mengekalkan kewibawaan institusi tersebut di mata masyarakat.
Teknologi AI yang berkembang pesat pada hari ini tidak dapat lari daripada isu kebimbangan kerahsiaan dan keselamatan data. Penggunaan AI pihak ketiga tanpa kawalan sangat berisiko kepada ancaman ketirisan data organisasi serius. Kesilapan mudah kakitangan yang tanpa sengaja memuat naik makumat sensitif organisasi seperti minit mesyuarat sulit, draf strategi organisasi yang belum diterbitkan ke dalam platform AI boleh menyebabkan maklumat tersebut diserap menjadi data awam. Hal inilah yang berisiko mengundang pengintipan maklumat komersial dan serangan siber ke atas organisasi tersebut seterusnya membuka ruang kepada liabiliti perundangan.
Selain itu, risiko penggunaan AI yang ramai tidak ketahui ialah model AI yang ada pada hari ini mempunyai kecenderungan berat sebelah dan kelemahan konteks yang ketara. Kita sedia maklum bahawa platform AI dilatih menggunakan set data yang telah tersedia dan kebanyakannya sarat dengan kandungan kecenderungan berat sebelah. Apabila teks atau visual yang kita jana menggunakan AI digunakan secara mentah dan diterima bulat-bulat tanpa melalui proses verifikasi terlebih dahulu berpotensi menimbulkan ketegangan dan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Akhir sekali, kebergantungan penuh kepada kandungan automatik bakal menghakis elemen paling penting dalam aspek komunikasi iaitu rasa empati dan sentuhan insani. Kedua-dua perkara inilah sama sekali tidak dapat disentuh oleh teknologi AI meskipun kita memberikan arahan yang terbaik dalam menentukan hasil janaan AI tersebut. Percayalah, apabila semua tindak balas aduan awam diserahkan sepenuhnya kepada jawapan mesin janaan AI, nescaya masyarakat akan mula merasakan diri mereka tidak dihargai dan diabaikan. Ingatlah bahawa, dalam jangka masa panjang jika perkara ini tidak diatasi segera akan menumpulkan daya pemikiran strategik pasukan komunikasi, seterusnya menjarakkan hubungan emosi yang terjalin antara pemegang taruh dengan organisasi.
Sayugianya, dalam mendepani transformasi landskap digital dan kepesatan teknologi AI ini, kerajaan negeri disarankan mengambil pendekatan proaktif seperti mewujudkan garis panduan dan dasar tadbir urus AI di peringkat negeri. Kerajaan negeri wajar menggubal dasar baharu berkaitan etika dan penggunaan AI dalam kalangan agensi, jabatan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri. Perlu difahami bahawa garis panduan ini amat penting bagi mengekang kemasukan data sensitif atau kerahsiaan kerajaan negeri ke dalam platform AI awam di samping mengetatkan protokol semakan fakta untuk mengelakkan penyebaran maklumat palsu yang menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat awam.
Ahmad Haziq Che Adlan ialah Pegawai Strategi Komunikasi, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS).













