GAJI MINIMUM: ANTARA PENDAPATAN, PRODUKTIVITI DAN KOS SARA HIDUP

 

Penulis : Eikhwan Ali

Intisari
  • Kenaikan gaji minimum perlu menyeimbangkan kebajikan pekerja dengan kemampuan perniagaan agar peningkatan pendapatan tidak menjejaskan kelangsungan operasi dan penciptaan pekerjaan.
  • Peningkatan gaji nominal tidak semestinya meningkatkan taraf hidup secara setara kerana manfaat sebenar bergantung pada kuasa beli selepas mengambil kira kenaikan kos sara hidup dan harga barangan.
  • Kesan kenaikan gaji minimum berbeza mengikut sektor dan saiz perniagaan, dengan PMKS dan industri intensif buruh lebih terdedah kepada tekanan peningkatan kos tenaga kerja.
  • Produktiviti menjadi faktor utama dalam memastikan kenaikan gaji dapat dikekalkan, khususnya melalui peningkatan kemahiran, penggunaan teknologi, inovasi dan peralihan kepada aktiviti bernilai tambah tinggi
  • Dasar gaji minimum perlu dilaksanakan bersama dasar sokongan yang menyeluruh, termasuk pemantauan sektoral, perlindungan sosial dan langkah menangani kos sara hidup supaya peningkatan pendapatan benar-benar diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.

Isu penetapan gaji minimum kembali menjadi tumpuan apabila Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memulakan kajian semula Perintah Gaji Minimum menerusi Majlis Perundingan Gaji Negara pada awal Julai 2026. Sejak diperkenalkan pada kadar RM900 pada 2013 sehingga meningkat kepada RM1,700, perbahasan mengenainya tidak pernah terpisah daripada persoalan kebajikan pekerja dan kemampuan majikan. Dalam kajian semula kali ini, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menegaskan bahawa sebarang pelarasan perlu berpandukan data pasaran dan bergerak seiring peningkatan produktiviti, manakala Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan RM3,100 sebagai tanda aras gaji kehidupan wajar bagi mendepani tekanan kos sara hidup. Dua pandangan ini sebenarnya menggambarkan cabaran utama dasar gaji minimum iaitu bagaimana meningkatkan taraf hidup pekerja tanpa melemahkan keupayaan perniagaan untuk berkembang dan menyediakan pekerjaan.

Dalam konteks Malaysia, kenaikan gaji minimum menghasilkan satu rantaian kesan ekonomi yang lebih kompleks daripada sekadar pertambahan pendapatan pekerja. Memang benar pekerja bergaji rendah menerima manfaat secara langsung. Namun pada masa yang sama, kenaikan tersebut meningkatkan kos buruh yang kemudiannya boleh mempengaruhi keputusan pengambilan pekerja, harga barangan dan perkhidmatan serta strategi operasi perniagaan. Pada akhirnya, persoalan yang lebih penting bukan berapa banyak gaji meningkat, tetapi sejauh mana kenaikan itu benar-benar meningkatkan taraf hidup isi rumah. Di sinilah keseimbangan antara upah, produktiviti, kestabilan pekerjaan, inflasi dan daya saing perniagaan menjadi penting.

Gaji minimum pada asasnya merupakan instrumen perlindungan sosial, bukan sekadar mekanisme menentukan harga buruh. Kenaikannya boleh meningkatkan pendapatan dan kebajikan pekerja berpendapatan rendah, di samping membantu mengurangkan kemiskinan serta memperbaiki pengagihan pendapatan. Namun, kenaikan gaji di atas kertas tidak semestinya bermaksud peningkatan taraf hidup pada kadar yang sama. Jurang antara pendapatan dengan kos sara hidup masih menjadi persoalan, khususnya di kawasan bandar. Sebab itu, keberkesanan dasar gaji minimum tidak seharusnya diukur berdasarkan angka gaji nominal semata-mata, tetapi berdasarkan berapa banyak kuasa beli sebenar yang tinggal selepas mengambil kira perubahan harga.

Manfaat kepada pekerja pula tidak boleh dipisahkan daripada kemampuan perniagaan menanggung kos tambahan. Kenaikan gaji minimum meningkatkan perbelanjaan tenaga kerja, terutama bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta industri yang banyak bergantung kepada buruh. Perniagaan dengan margin keuntungan yang kecil mempunyai ruang yang lebih sempit untuk menyerap kenaikan tersebut. Pilihannya mungkin antara mengurangkan margin keuntungan, menaikkan harga, menyusun semula tenaga kerja atau meningkatkan kecekapan operasi. Sebab itu, kesannya tidak sama bagi semua. Syarikat yang mempunyai produktiviti dan kedudukan kewangan yang lebih baik tentunya mempunyai ruang penyesuaian lebih besar berbanding perniagaan kecil yang bergantung kepada pekerja bergaji rendah.

Begitu juga dalam soal pekerjaan. Hubungan antara kenaikan gaji minimum dengan kehilangan pekerjaan tidak semudah yang sering digambarkan. Risiko pengurangan pekerjaan memang ada, khususnya bagi pekerja berkemahiran rendah dan sektor tertentu. Namun, belum terdapat bukti yang cukup untuk membuat kesimpulan bahawa setiap kenaikan gaji minimum semestinya membawa kepada kehilangan pekerjaan secara besar-besaran. Tindak balas majikan bergantung kepada sektor, saiz perusahaan, struktur tenaga kerja dan kemampuan meningkatkan produktiviti. Maka, penilaian dasar perlu dibuat mengikut sektor dan kumpulan pekerja. Angka purata nasional sahaja mungkin tidak dapat menunjukkan tekanan sebenar yang dihadapi oleh industri tertentu.

Di sinilah produktiviti menjadi penghubung penting antara kepentingan pekerja dengan kemampuan majikan. Jika peningkatan kos buruh disertai peningkatan produktiviti, kenaikan gaji tidak semestinya menjadi beban kepada perniagaan. Malah, kos buruh yang lebih tinggi boleh memberi dorongan kepada perniagaan untuk memperbaiki proses kerja, menggunakan teknologi, meningkatkan kemahiran pekerja dan menghasilkan produk atau perkhidmatan bernilai lebih tinggi. Dari sudut yang lebih luas, gaji minimum boleh menjadi sebahagian daripada usaha mengalihkan ekonomi daripada kebergantungan kepada buruh murah kepada model berasaskan produktiviti dan nilai tambah. Namun, perubahan ini tidak berlaku secara automatik. Kenaikan gaji sahaja belum tentu menyebabkan perniagaan menjadi lebih produktif atau melakukan automasi secara meluas tanpa sokongan teknologi, modal dan pembangunan kemahiran.

Satu lagi bahagian dalam rantaian ini ialah harga. Apabila sebahagian kos buruh dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga, manfaat tambahan gaji yang diterima pekerja boleh berkurangan. Di sinilah muncul paradoks gaji minimum iaitu apabila pekerja memperoleh pendapatan nominal lebih tinggi, tetapi peningkatan kuasa beli sebenar mungkin jauh lebih kecil apabila harga barangan dan perkhidmatan turut meningkat. Kesannya lebih terasa kepada isi rumah berpendapatan rendah kerana sebahagian besar pendapatan mereka digunakan untuk makanan, perumahan, pengangkutan dan keperluan asas lain.

Namun, rantaian kesan ini tidak semuanya negatif. Pendapatan yang lebih tinggi memberikan ruang kepada pekerja untuk meningkatkan perbelanjaan isi rumah. Apabila penggunaan meningkat, permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan juga boleh berkembang dan seterusnya menyokong aktiviti ekonomi. Pada masa yang sama, pengurangan kemiskinan dan jurang pendapatan membawa manfaat sosial yang lebih luas. Maka, perbahasan dasar tidak seharusnya berhenti pada persoalan sama ada gaji minimum perlu dinaikkan atau tidak. Persoalan yang lebih berguna ialah bagaimana kenaikan itu boleh dilaksanakan supaya manfaat kepada pekerja tidak terhakis akibat kenaikan harga, kehilangan pekerjaan atau tekanan berlebihan terhadap perniagaan.

Atas sebab itu, gaji minimum memerlukan dasar sokongan yang bergerak bersama. Dalam jangka pendek, pelaksanaan secara berperingkat, pemantauan kesan mengikut sektor, rundingan berterusan antara majikan dan pekerja serta perhatian khusus terhadap kemampuan PMKS boleh membantu mengurangkan kejutan penyesuaian. Dalam jangka panjang, kenaikan gaji perlu disandarkan kepada pembangunan kemahiran, peningkatan produktiviti, inovasi dan peralihan kepada aktiviti ekonomi bernilai tambah tinggi. Perlindungan sosial dan usaha menangani kos sara hidup juga perlu bergerak seiring supaya pertambahan pendapatan benar-benar menjadi pertambahan kesejahteraan.

Matlamat dasar gaji minimum bukan sekadar untuk menghasilkan angka gaji yang lebih tinggi. Ukuran kejayaannya ialah apabila pekerja mempunyai kuasa beli dan taraf hidup yang lebih baik, sementara perniagaan kekal berdaya maju dan ekonomi terus mencipta pekerjaan yang produktif. Jika satu bahagian daripada rantaian ini diabaikan, manfaat pada satu pihak boleh bertukar menjadi kos kepada pihak yang lain. Sebab itu, gaji minimum perlu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi yang lebih besar untuk meningkatkan produktiviti, pendapatan dan kesejahteraan rakyat secara serentak.


Mohd Eikhwan M Ali ialah Pegawai Eksekutif Strategi, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS).

Kongsi berita ini:

WhatsApp
Facebook
Twitter
LinkedIn