Penulis : Eikhwan Ali

| Intisari (Janaan AI) |
|---|
|
Bagi pengguna, perjalanan dari satu daerah ke daerah lain di Terengganu sepatutnya menjadi satu perjalanan yang lancar. Namun, pengalaman itu boleh menjadi rumit apabila pengguna memasuki kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berbeza dan perlu berhadapan dengan sistem, kaedah pembayaran atau prosedur parkir yang berlainan. Walaupun perbezaan tersebut mungkin dianggap kecil dari sudut pentadbiran, bagi pengguna ia menggambarkan perkhidmatan kerajaan yang masih bergerak mengikut sempadan organisasi. Persoalannya mudah iaitu mengapa rakyat perlu merasai perbezaan sempadan PBT dalam urusan harian sedangkan mereka masih berada dalam negeri yang sama?
Sistem parkir yang berasingan boleh memberi kesan kepada kemudahan pengguna dan pengalaman perjalanan secara keseluruhan. Sistem yang tidak diselaraskan boleh menyebabkan pengguna berhadapan dengan peraturan, kaedah pembayaran dan maklumat yang berbeza. Keadaan ini bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, malah boleh menambah masa mencari parkir dan mengurangkan kepuasan terhadap perjalanan. Kesan ini turut melibatkan pelawat dan perniagaan tempatan apabila akses ke sesuatu kawasan menjadi kurang mudah. Pengurusan parkir yang terpisah juga boleh menyebabkan penggunaan ruang parkir menjadi kurang cekap dan menyukarkan usaha mengurangkan kesesakan.
Oleh itu, parkir tidak sepatutnya dilihat sebagai isu tempat meletakkan kenderaan semata-mata. Parkir ialah sebahagian daripada rantaian mobiliti bandar. Seseorang mungkin memandu ke bandar, meletakkan kenderaan, berjalan kaki, menggunakan pengangkutan awam dan meneruskan perjalanan ke destinasi lain. Jika setiap bahagian perjalanan ini diurus secara berasingan, pengalaman mobiliti pengguna turut menjadi terputus. Dalam konteks ini, sistem parkir yang berbeza antara PBT sebenarnya menunjukkan masalah yang lebih besar iaitu tahap penyelarasan perkhidmatan awam antara pihak berkuasa.
Namun, penyeragaman tidak bermaksud kuasa PBT perlu dihapuskan. Setiap PBT masih boleh menentukan kadar parkir, zon, penguatkuasaan dan pengurusan hasil berdasarkan keperluan kawasan masing-masing. Apa yang perlu berubah ialah pengalaman di hadapan (front-end) pengguna. Terengganu boleh bergerak kepada konsep satu platform untuk pengguna, tetapi pengurusan kekal mengikut PBT. Pengguna hanya memerlukan satu akaun atau satu sistem untuk membuat bayaran dan mendapatkan maklumat parkir di seluruh negeri. Di belakang (back-end) sistem tersebut, bayaran, data, kadar dan tindakan penguatkuasaan masih boleh diurus oleh PBT masing-masing. Pendekatan sebegini boleh disokong melalui platform teknologi yang saling berhubung, perkongsian data dan penyelarasan antara PBT.
Keperluan ini menjadi lebih penting kerana Kerajaan Negeri sendiri telah mengakui perlunya penyelarasan tersebut. Dalam Ucapan Belanjawan 2026, Menteri Besar Terengganu meletakkan peningkatan kecekapan PBT sebagai salah satu pemacu yang perlu diberi perhatian segera, termasuk usaha menyelaras perkhidmatan dan prosedur yang lebih seragam antara PBT dalam urusan seperti pelesenan dan kemudahan parkir. Malah, ketujuh-tujuh pemacu tersebut disifatkan sebagai penting dan segera. Maka, isu utama sepatutnya bukan lagi sama ada penyeragaman parkir diperlukan, tetapi sejauh mana hala tuju yang telah dinyatakan itu dapat diterjemahkan kepada perubahan yang benar-benar dirasai rakyat.
Dalam jangka panjang, sistem parkir bersepadu juga tidak seharusnya menjadi matlamat akhir. Ia boleh menjadi titik permulaan kepada ekosistem mobiliti Terengganu yang lebih menyeluruh. Data parkir boleh dihubungkan dengan pengangkutan awam, ECRL, kemudahan park-and-ride, pembayaran digital, pengurusan trafik dan sistem bandar pintar. Perkongsian data masa nyata, teknologi digital dan sistem pembayaran bersepadu boleh membantu menghubungkan parkir dengan bentuk pengangkutan lain serta meningkatkan pengurusan trafik.
Justeru, masalah sebenar bukanlah setiap PBT mempunyai kuasa mengurus parkir sendiri. Masalahnya ialah apabila rakyat terpaksa mengalami sempadan pentadbiran tersebut dalam urusan harian mereka. PBT boleh kekal berautonomi di belakang tabir, tetapi pengalaman rakyat di hadapan sepatutnya mudah, seragam dan saling berhubung. Jika Terengganu mahu bergerak ke arah mobiliti bandar yang lebih pintar dan bersepadu, parkir ialah antara tempat paling praktikal untuk memulakannya.
Mohd Eikhwan M Ali ialah Pegawai Eksekutif Strategi, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS).













