Penulis: Eikhwan Ali & Muzhaffar

| Intisari (Janaan AI) |
|---|
|
Penetapan kadar tambang permulaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kelas Ekonomi bagi perjalanan Transit dari Gombak ke Kota Bharu RM125 sehala, ke Kuala Terengganu RM95 sehala dan ke KotaSAS RM60 sehala menandakan fasa baharu kesalinghubungan antara Pantai Timur dengan Lembah Klang.
Dari sudut penjimatan masa, pengurangan tempoh perjalanan kepada sekitar 4 hingga 5 jam ke Kota Bharu dan 3 hingga 4 jam ke Kuala Terengganu memberikan pulangan nilai masa yang ketara berbanding perjalanan jalan raya yang lazimnya memakan masa antara 5 hingga 7 jam atau melebihi 10 jam terutamanya pada musim perayaan.
Walau bagaimanapun, penilaian kemampuan tidak boleh disandarkan kepada nilai masa semata-mata, sebaliknya perlu diukur bersama pendapatan boleh guna isi rumah setempat. Bagi sebuah keluarga di Pantai Timur, perjalanan pergi dan balik boleh menelan belanja ratusan ringgit hanya untuk tiket asas, belum mengambil kira kos perjalanan batuan pertama dan terakhir ke stesen. Oleh itu, persepsi sama ada tambang ini murah atau mahal hakikatnya bergantung kepada sejauh mana perkhidmatan rel ini dilihat sebagai keperluan harian yang mampu diakses atau sekadar mod pengangkutan berkala ketika kesesakan lebuh raya memuncak.
Kesan pelaksanaan tambang ini amat berkait rapat dengan landskap pendapatan isi rumah di negeri-negeri Pantai Timur. Data sosioekonomi menunjukkan bahawa pendapatan kasar bulanan penengah isi rumah di Kelantan, Pahang dan Terengganu masing-masing berada di bawah paras nasional iaitu RM7,017, dengan kelompok 40 peratus terbawah (D1–D4) merekodkan pendapatan kasar bulanan penengah yang lebih rendah berbanding Purata Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) bulanan isi rumah iaitu antara RM645 sehingga RM1,713.
Bagi isi rumah berpendapatan rendah terutamanya di Kelantan dan Terengganu, sekiranya menggunakan perkhidmatan ini, tambang sehala berkadar RM125 Gombak-Kota Bharu atau RM95 Gombak-Kuala Terengganu ini membentuk komposisi perbelanjaan yang besar bagi kumpulan pengangkutan yang secara purata hanya berjumlah RM495 dan RM520 masing-masing.
Di samping itu, kebergantungan perjalanan isi rumah di kawasan luar bandar terhadap kenderaan persendirian menuntut sistem bas pengantara yang cekap dan berpatutan di stesen seperti Pasir Puteh, Jerteh, mahupun Bandar Permaisuri. Tanpa sokongan jaringan sambungan tempatan ini, manfaat mobiliti yang dijanjikan berisiko dinikmati secara terpilih oleh golongan berpendapatan sederhana-tinggi dan warga bandar, lantas meminggirkan komuniti luar bandar yang sepatutnya dibantu oleh projek infrastruktur mega ini.
Keputusan Jemaah Menteri meluluskan formula tambang dinamik yang fleksibel mengikut waktu perjalanan, permintaan dan ketersediaan tempat duduk mencerminkan usaha mengimbangi pulangan hasil dan kemampanan operasi jangka panjang. Ini penting kerana menguruskan infrastruktur rel berskala besar memerlukan penjanaan pendapatan yang stabil bagi menampung kos penyelenggaraan dan operasi harian di bawah kendalian syarikat operasi. Pendekatan tambang dinamik sememangnya berkesan untuk mengagihkan corak perjalanan di luar waktu puncak serta memaksimumkan penggunaan kapasiti 2.2 juta tempat duduk yang dirancang bagi tahun 2027.
Namun demikian, kelemahan sistem ini terletak pada potensi lonjakan harga pada musim perayaan, cuti persekolahan dan cuti am iaitu waktu di mana majoriti rakyat Pantai Timur yang merantau bergantung harap kepada pengangkutan awam untuk pulang ke kampung halaman.
Sekiranya harga tiket melonjak terlalu tinggi akibat permintaan melambung, pengguna berpendapatan rendah dan sederhana terpaksa beralih semula kepada bas ekspres atau kenderaan persendirian di jalan raya, sekali gus menafikan matlamat asal ECRL untuk mengurangkan beban kesesakan lebuh raya. Kawalan siling harga pada musim puncak wajar dipertahankan agar rasional komersial tidak mengatasi fungsi sosial rel awam ini.
Langkah penyediaan diskaun tambang sebanyak 50 peratus untuk kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesara kerajaan serta 40 peratus untuk pelajar wajar dipuji sebagai jaring keselamatan sosial yang inklusif. Langkah ini membantu meringankan perbelanjaan perjalanan bagi segmen masyarakat yang paling terdedah kepada kekangan kewangan.
Walau bagaimanapun, untuk memastikan projek mega ini benar-benar berperanan sebagai pemangkin kemakmuran wilayah, intervensi dasar kerajaan perlu diperluas melangkaui diskaun demografi asas. Kerajaan boleh mempertimbangkan pas perjalanan bulanan bersepadu atau tiket bersubsidi khusus bagi pekerja harian dan komuniti perniagaan mikro tempatan di jajaran Pantai Timur. Kuota tempat duduk kelas Ekonomi berkadar rendah juga mesti dijamin, khususnya untuk laluan transit harian antara daerah seperti dari Chukai atau Kemasik ke Bandar Permaisuri atau Jerteh.
Di samping itu, integrasi tiket antara ECRL dengan perkhidmatan bas henti-henti dan pengangkutan setempat perlu diwujudkan dengan tambang berpatutan bagi mengurangkan kos perjalanan keseluruhan pengguna dari pintu ke pintu. Pengagihan subsidi secara bersasar ini bukan sahaja mengekalkan prinsip keadilan sosial, malah menjamin asas penumpang harian yang konsisten untuk menyokong aktiviti ekonomi setempat.
Kejayaan sebenar projek rel mega ini tidak boleh dinilai semata-mata menerusi angka kutipan tambang tahunan atau penyempurnaan fizikal jajarannya. ECRL perlu dinilai dari segi perubahan kualiti hidup masyarakat tempatan, peningkatan produktiviti hasil masa perjalanan yang dijimatkan, serta kemudahan akses rakyat kepada pusat pendidikan, peluang pekerjaan dan kemudahan kesihatan yang lebih baik antara wilayah.
Seiring dengan pertumbuhan sektor perkhidmatan dan pelancongan domestik yang semakin berkembang di Kelantan dan Terengganu, kadar tambang yang ditetapkan perlulah kekal seimbang antara tuntutan perniagaan dengan kebajikan rakyat terbanyak. Apabila perkhidmatan rel ini dapat diakses secara saksama oleh segenap lapisan masyarakat, barulah pelaburan mega ratusan bilion negara ini benar-benar membuahkan hasil yang adil, mengubah taraf hidup rakyat Pantai Timur dan meninggalkan impak berkekalan bagi generasi akan datang.
Justeru, kelestarian operasi jangka panjang ECRL tidak sewajarnya dibebankan ke atas bahu pengguna. Sebaliknya, kelangsungan kewangan projek ini perlu digerakkan melalui penjanaan hasil komersial yang lebih luas terutamanya dengan mengoptimumkan pengangkutan kargo dan membangunkan hartanah berasaskan transit di sekitar stesen-stesen koridor Pantai Timur di samping membezakan kadar tambang bagi kelas Perniagaan. Keuntungan daripada segmen bernilai komersial tinggi inilah yang wajar digunakan sebagai subsidi silang (cross-subsidy) bagi mengekalkan tambang asas yang berpatutan untuk rakyat bawahan. Hanya dengan memisahkan beban kos operasi daripada poket pengguna harian, ECRL dapat mempertahankan mandat asalnya sebagai pemangkin kemakmuran wilayah, bukannya projek mega yang terasing daripada kemampuan rakyat yang sepatutnya dibantu.
Mohd Eikhwan M Ali ialah Pegawai Eksekutif Strategi di Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dengan pengalaman lebih 10 tahun dalam penyelidikan dasar awam, hal ehwal parlimen, pengurusan strategik dan pembangunan sosioekonomi.
Wan Muzhaffar Wan Muda ialah Pegawai Penyelidik, Kluster Sosial dan Modal Insan, Jabatan Penyelidikan di Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), berpengalaman dalam bidang penyelidikan dasar, pembangunan modal insan dan sosioekonomi.













