Disediakan oleh: Pasukan Penyelidik ENTER-TSIS

| Intisari (Janaan AI) |
|---|
|
Pengenalan
Data terbuka alam sekitar berpotensi menjadi jambatan strategik antara penyelidikan akademik, keperluan komuniti dan proses pembuatan keputusan. Maklumat berkaitan kualiti udara, kebersihan air, risiko banjir, guna tanah dan biodiversiti membolehkan masyarakat memahami dinamik persekitaran mereka secara lebih objektif. Namun, nilai sebenar data tidak sekadar ditentukan oleh kuantiti data yang dikumpulkan atau tahap kebolehcapaian platform digital. Nilai tersebut hanya terjelma apabila data mudah difahami, boleh diguna semula dan berupaya membimbing pihak berkepentingan merangka tindakan konkrit, khususnya dalam mendepani cabaran sosio-alam sekitar.
Dalam konteks Malaysia, penyediaan data alam sekitar menuntut kepekaan terhadap perbezaan keupayaan literasi pengguna. Penyelidik memerlukan data berbutiran tinggi untuk analisis saintifik yang mendalam, manakala komuniti setempat memerlukan terjemahan data yang ringkas bagi menilai risiko harian. Oleh itu, penyediaan instrumen visual seperti papan pemuka digital, pemetaan interaktif, infografik dan naratif yang mudah diakses berupaya merapatkan jurang antara dapatan saintifik dengan kefahaman masyarakat. Dalam hal ini, prinsip FAIR iaitu data mudah ditemukan (findable), boleh diakses (accessible), saling beroperasi (interoperable) dan boleh diguna semula (reusable) menyediakan asas yang kukuh untuk membina ekosistem data yang inklusif.
Walau bagaimanapun, keterbukaan akses semata-mata tidak menjamin penyertaan aktif masyarakat mahupun perubahan dasar. Data yang sukar ditafsir, tidak lengkap atau terputus daripada realiti setempat sering terbiar tanpa impak. Justeru, pembentukan ekosistem data perlu melibatkan pengguna sejak peringkat awal iaitu bermula daripada penentuan skop keperluan dan pengumpulan data hinggalah proses interpretasi. Pendekatan serta sama (participative) ini memastikan data bukan sahaja memenuhi standard ketelitian akademik, malah memperkasa komuniti untuk menyuarakan aspirasi dan menuntut tindakan berasaskan bukti yang sahih.
Makmal Hidup sebagai Ruang Kerjasama Universiti dan Komuniti
Makmal hidup (living labs) menawarkan ruang operasional yang menghubungkan analisis data dengan tindakan langsung di lapangan. Berbeza daripada penyelidikan konvensional di makmal tertutup, makmal hidup menyatukan penyelidik, komuniti, agensi awam dan sektor industri untuk mengenal pasti isu sebenar, menguji model penyelesaian dan menilai hasilnya dalam persekitaran sebenar.
Pendekatan ini berupaya merapatkan jurang antara data terbuka dengan pengalaman harian penduduk. Sebagai contoh, dalam menangani pencemaran lembangan sungai, data pemantauan kualiti air universiti boleh digabungkan dengan pemerhatian komuniti setempat bagi memetakan punca pencemaran secara tepat. Gabungan bukti saintifik dan kearifan tempatan (local wisdom) ini menghasilkan intervensi pemulihan yang lebih praktikal, mempertingkat kesedaran awam serta mengukuhkan rundingan bersama pihak berkuasa tempatan.
Walaupun begitu, kolaborasi ini hanya bernilai sekiranya komuniti diiktiraf sebagai rakan kongsi setaraf, bukannya sekadar subjek kajian atau pembekal data pasif. Penglibatan yang terhad kepada pengisian soal selidik merendahkan potensi sebenar model ini. Komuniti perlu dilibatkan secara aktif dalam merangka persoalan kajian, memilih metodologi, mentafsir penemuan dan merancang tindakan susulan. Pengupayaan ini bukan sahaja meningkatkan akauntabiliti penyelidikan, malah memastikan intervensi yang dicadangkan benar-benar serasi dengan konteks sosiobudaya setempat.
Selain itu, kemampanan makmal hidup tidak wajar bergantung semata-mata pada kitaran geran jangka pendek. Sokongan institusi yang padu, pembahagian peranan yang telus, prasarana sokongan dan jalinan kerjasama strategik yang berpanjangan merupakan prasyarat utama agar inisiatif ini kekal lestari. Setiap intervensi juga perlu diuji dan disesuaikan secara teliti sebelum diskalakan ke kawasan lain, sekali gus membolehkan makmal hidup berkembang daripada eksperimen ad-hoc kepada platform inovasi sosial yang mampan.
Kurikulum Responsif dan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman
Penyepaduan data terbuka dan makmal hidup ke dalam kurikulum pendidikan tinggi mampu merapatkan jurang antara bilik kuliah dengan realiti masyarakat. Pelajar tidak lagi terhad kepada teori abstrak semata-mata sebaliknya mereka didedahkan secara langsung kepada analisis data sebenar, penyelidikan lapangan dan interaksi bersama komuniti. Kaedah ini bukan sahaja mengukuhkan kefahaman disiplin ilmu, malah mengasah kemahiran praktikal seperti analisis kuantitatif, pemikiran kritis, komunikasi awam dan penyelesaian masalah kompleks.
Pendekatan makmal hidup dalam pendidikan tinggi membuktikan bahawa pembelajaran berasaskan masalah sebenar (real-world problem-based learning) memupuk pengalaman pembelajaran yang kolaboratif dan berimpak tinggi. Walau bagaimanapun, keberkesanannya memerlukan penjajaran yang jelas antara reka bentuk aktiviti dengan hasil pembelajaran yang disasarkan.
Kurikulum responsif merujuk kepada reka bentuk pembelajaran anjal yang mampu bertindak balas terhadap isu alam sekitar kontemporari dan keperluan komuniti. Sebagai contoh, pelajar sains tulen mengendalikan analisis kimia sampel air, pelajar sains komputer membangunkan visualisasi dan seni bina sistem data, manakala pelajar sains sosial meneliti dinamik persepsi masyarakat serta proses advokasi dasar. Pendekatan rentas disiplin ini mencerminkan realiti bahawa krisis alam sekitar tidak boleh diselesaikan secara terasing melalui lensa satu bidang ilmu sahaja.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan kurikulum ini menuntut ketelitian operasi. Tenaga pengajar perlu mengimbangi tuntutan akademik agar aktiviti lapangan tidak membebankan komuniti tanpa pulangan manfaat yang nyata. Pada masa yang sama, pelajar memerlukan bimbingan rapi untuk menilai integriti data, memahami batasan metodologi serta menguasai etika komunikasi bersama masyarakat. Kejayaan kurikulum responsif akhirnya diukur melalui kualiti pembelajaran pelajar dan nilai tambah berpanjangan yang diterima oleh komuniti setempat.
Kerangka Bersepadu: Data, Makmal Hidup dan Kurikulum Responsif
Ketiga-tiga komponen ini iaitu data terbuka, makmal hidup dan kurikulum responsi perlu digerakkan secara saling melengkapi dalam satu ekosistem bersepadu. Pelaksanaan secara berasingan hanya akan mengecilkan impak keseluruhan. Data terbuka menyediakan asas bukti, makmal hidup berfungsi sebagai tapak eksperimen dan pengesahan sosial, manakala kurikulum responsif menterjemahkan pengalaman tersebut menjadi kemahiran modal insan dan pengetahuan generatif masa hadapan.
Kerangka ini memerlukan seni bina tadbir urus kolaboratif yang tersusun melalui pengagihan peranan yang jelas antara pelbagai pihak berkepentingan. Universiti memegang mandat menyediakan kepakaran metodologi, membangunkan instrumen analitik serta mengurus data secara saintifik, manakala agensi kerajaan bertindak membekalkan data pentadbiran rasmi, menyelaraskan garis panduan pengawalseliaan dan menghubungkan penemuan penyelidikan terus ke dalam instrumen dasar awam. Pada masa yang sama, komuniti menyumbang kearifan serta pengetahuan tempatan bagi mengenal pasti isu keutamaan dan memantau perubahan di lapangan, disokong oleh pihak industri serta organisasi masyarakat sivil yang memperkukuh ekosistem ini menerusi penyediaan teknologi, pembiayaan, advokasi awam dan perluasan intervensi ke peringkat pasaran atau masyarakat yang lebih luas.
Pengagihan tanggungjawab ini mesti dipandu oleh protokol yang jelas merangkumi hak pemilikan data, etika perkongsian, kebolehgunaan semula (reusability) dan pengiktirafan sumbangan komuniti. Dalam hubungan ini, pendekatan tadbir urus berbilang pusat (polycentric governance) amat relevan. Keputusan tidak dipusatkan kepada satu entiti semata-mata, sebaliknya diagihkan kepada pelbagai aktor yang beroperasi secara autonomi namun terikat dengan matlamat dan peraturan bersama. Dalam konteks pengurusan alam sekitar di Malaysia, model ini mampu menyelaraskan korpus data universiti, pangkalan data agensi negeri/persekutuan dan dapatan sains masyarakat (citizen science).
Penyepaduan ini tidak terlepas daripada cabaran seperti jurang kepentingan antara pemegang taruh, kekangan peruntukan, ketidakseragaman format data serta perbezaan literasi digital. Oleh itu, kerangka ini memerlukan mekanisme komunikasi berterusan dan ruang rundingan berkala bagi menyelesaikan pergeseran serta menyesuaikan pelan tindakan mengikut maklum balas lapangan.
Inisiatif Environmental Open Data for Engaging Curricula and Research Training (ENTER) yang disokong oleh Kesatuan Eropah menjadi pemangkin penting dalam menterjemahkan konsep ini kepada amalan. Melalui gandingan makmal hidup, sains warga, perkongsian data terbuka dan kurikulum responsif di Malaysia dan India, ENTER memperkasa komuniti agar dapat menggunakan data alam sekitar bagi pembuatan keputusan yang berasaskan bukti.
Bagi konteks Malaysia, kerangka ini amat strategik bagi menangani isu kerentanan pesisir pantai, pengurusan data marin dan adaptasi perubahan iklim. Dalam rantaian ini, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) memegang peranan penting sebagai rakan sosial strategik yang merapatkan dapatan saintifik dengan proses formulasi dasar negeri khususnya dalam isu hakisan pantai dan pemantauan marin. Sinergi ini memastikan penemuan penyelidikan tidak berakhir di rak perpustakaan, sebaliknya diangkat menjadi teras pertimbangan polisi awam yang berpijak pada realiti tempatan. Nilai teras projek ENTER bukanlah sekadar pembinaan infrastruktur perisian atau bahan kursus, tetapi penubuhan institusi dan jaringan kolaboratif yang inklusif, telus dan berdaya tahan.
Kesimpulan
Pembangunan ekosistem ini wajar dimulakan dengan penetapan skop isu yang mendesak dan dekat dengan denyut nadi masyarakat setempat, seperti hakisan pantai, pengurusan sisa pepejal atau kemerosotan kualiti air. Pendekatan berfasa membolehkan protokol kerja dinilai dan ditambah baik pada skala kecil sebelum diperluas ke peringkat yang lebih mencabar.
Tadbir urus dan etika data perlu dipasak sejak fasa perancangan. Pemegang taruh perlu mencapai persetujuan kolektif berkenaan kaedah pensampelan, penentukuran data masyarakat, had kebolehpercayaan serta perlindungan privasi. Data komuniti perlu dihargai mengikut konteksnya tanpa mengabaikan aspek ketepatan saintifik.
Penilaian kejayaan ekosistem ini tidak harus diukur melalui indikator kuantitatif cetek semata-mata seperti jumlah set data yang dimuat naik atau bilangan peserta bengkel. Pengukuran impak sebenar terletak pada tahap pengaruh data terhadap keputusan dasar, ketahanan komuniti dalam menangani cabaran sosio-alam sekitar, kebolehpasaran kemahiran pelajar serta kesinambungan kepercayaan antara universiti, kerajaan dan masyarakat.
Pasukan Penyelidik ENTER-TSIS ini terdiri daripada En. Eikhwan Ali sebagai Pengurus dan empat orang penyelidik iaitu En. Asyraf Salleh, Pn. Fatin Sophia, Pn. Kyra Aishah dan En. Wan Muzhaffar. Manakala Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob selaku Pakar Perunding TSIS berperanan sebagai Penasihat.













