Terengganu International Summit 2023

350537618 638099741174772 6407987492720618409 n

Program Terengganu International Summit 2023 yang berlangsung di Taman Tamadun Islam pada 1 Jun 2023 yang lepas, YB Tan Sri Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Bin Awang dalam ucap tamanya, telah menghuraikan mengenai konsep Kesyumulan Islam yang tidak ada pada agama dan ideologi yang lain sehinggakan Islam berjaya membina tamadun yang beriman dan berakhlak. Hal ini kerana, ciri-ciri ajaran Islam itu sendiri yang bersifat thawabit iaitu tidak boleh diubah dalam perkara dasar, rukun serta hukum halal dan haram menjadikan dasarnya teguh terpelihara. Pada masa yang sama, Islam juga mempunyai prinsip dan konsep yang murunah (fleksibel) atau anjal, menjadikan Islam mampu menangani perbezaan dan perubahan.

Kegagalan menghayati konsep kesyumulan Islam ini menjadikan ada dalam kalangan umat Islam beranggapan bahawa Islam tiada hubungan dengan cara kehidupan manusia dalam segala aspek. Punca utamanya datang daripada sistem pendidikan Islam yang dipengaruhi penjajah menyebabkan Islam tidak dipelajari dengan sempurna.

Masalah ini menyebabkan ada dalam kalangan rakyat yang menganut dan memperjuangkan pelbagai ideologi selain Islam walaupun mereka ini dalam kalangan yang kuat beribadat. Ada pula yang tidak ambil peduli mengenai ancaman yang berlaku kepada Islam.

Kesan daripada sistem pendidikan yang ada juga menyebabkan ramai dalam kalangan para ulama’ tidak memahami cabaran semasa dan asyik berkhilaf dalam masalah furu’, berkelahi sesama sendiri, membiarkan musuh bermahajalela dan ada yang tidak bertafaqquh dalam ilmu sehingga termasuk dalam sangkar musuh Islam.

Justeru, bagi mengatasi isu-isu yang mendorong kepada perpecahan umat Islam ini, Terengganu International Summit (TIS) 2023 telah mengetengahkan 10 resolusi bagi memastikan wujudnya perubahan yang amat diperlukan dalam mengetengahkan konsep kesyumulan Islam dalam mendepani cabaran global.

Antara resolusi utama kepada persidangan kali ini adalah untuk menggesa semua pihak bersama-sama mengangkat konsep kesyumulan Islam sebagai tonggak kesatuan ummah dalam masyarakat berbilang kaum serta menggesa kepimpinan negara agar menjadikan kesyumulan Islam sebagai dasar dalam usaha penyelesaian isu-isu dalam masyarakat secara keseluruhan. Selain itu, Persidangan ini turut bersepakat untuk menolak usaha menyebar kefahaman islam yang salah dalam semua bidang termasuklah media, ekonomi, politik dan pendidikan.

Persidangan yang dihadiri oleh 800 orang peserta termasuk 29 delegasi daripada 8 buah negara iaitu Palestin, Pakistan, Indonesia, Oman, India, Nigeria, Filipina dan Britain juga tu rut bersetuju untuk menjadikan persidangan antarabangsa ini diadakan secara berkala di negeri Terengganu.

#IslamSyumul#IslamMemimpin

#tis23

#persidanganantarabangsaterengganu23

#terengganuinternationalsummit23

Kongsi berita ini:

WhatsApp
Facebook
Twitter
LinkedIn